Sunday, July 25, 2010

Pembedahan Pertamaku

Bengkak susu
Aku tidak ingat bila aku mula mengalami bengkak susu. Badanku menggigil kesejukan, tetapi kalau dipegang badanku panas. Mak dan apak menasihatkan aku pergi ke klinik.Petang itu, suami terus membawaku ke klinik. Doktor menasihatkan aku terus memerah susu. Kalau warnanya mencurigakan, doktor kata jangan bagi pada bayiku. Dikhuatiri susu itu diserang kuman. Aku diberi antibiotik, ubat demam, ubat tahan sakit, dan ubat bengkak. Demamku cepat sahaja kebah, tetapi bengkak susu masih ada. Walaupun tidak sesakit pada mulanya, tetapi bengkak yang ada tetap mencurigakan. Aku mencuba apa sahaja untuk menyusutkan bengkak itu, tetapi mengecewakan.

Suntikan Mencurigakan
Setelah ubat habis, aku diserang demam sekali lagi. Sekali lagi aku dibawa ke klinik. Kali ini kami pergi ke klinik lain kerana merasakan rawatan di klinik pertama tidak berkesan. Kami kenal dengan doktor yang merawat di klinik kedua. Dia terus mengatakan aku terkena penyakit breast abscess. Dia terus memberikan suntikan. Katanya, dia memang akan memberi rawatan agresif pada penyakit breast abscess supaya cepat baik. Doktor juga dengan bangga menyatakan tak ramai doktor tahu tentang suntikan itu.Aku mula berasa pelik. Dia kata, dia tahu tentang suntikan itu kerana dahulu dia bekerja di bahagian tulang. Malam itu, aku dikehendaki datang sekali lagi. Hari itu sahaja aku menerima 2 suntikan. Besoknya pun aku disuntik lagi. Demam kebah sekali lagi. Sakit berkurangan. Aku mengharapkan aku cepat baik. Rutin memerah susu berjalan seperti biasa walaupun hasilnya sikit sahaja. Tidak mengapalah.... Selang beberapa hari,ketika ubat sudah habis, keadaanku semakin teruk. Batuk tidak baik-baik walaupun macam-macam ubat telahku telan. Vitamin jangan cakap la, pagi petang siang malam aku telan. Kawasan jajahan bengkak semakin banyak. Aku menghubungi doktor yang merawatku. Dia terkejut dengan keadaanku dan menasihatkan aku membeli antibiotik yang berharga rm73 sekali lagi dan menyuruhku pergi ke kliniknya keesokan hari untuk diberi suntikan sekali lagi. Dia tidak menyuruhku memerah susu kerana pemerahan akan merebakkan lagi infeksi. Aku bertekad tidak mahu pergi ke klinik doktor itu lagi kerana tidak mahu disuntik.

Jangan jumpa doktor
Aku menerima pelbagai nasihat daripada orang sekelilingku. Ada yang menasihatkan aku agar tidak berjumpa doktor. Kononnya tidak semua doktor tahu tentang masalah yang aku hadapi. Aku membuat kajian dalam majalah dan internet. Daripada pembacaanku, aku syak aku ada breast abscess dan antara rawatannya adalah melalui pembedahan kecil. Aku takut dibedah, tetapi kalau itu boleh menyembuhkan aku, aku redha. Aku sudah tidak tertahan dengan kesakitan yang ku tanggung selama ini. Aku bertanya kepada pakar laktasi. Beliau menasihatkan aku agar bertemu dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut. Apa yang pasti, suntikan untuk menghentikan pengeluaran susu bukanlah langkah yang patut diambil. Aku berbincang dengan suami tentang keadaanku. Melihatkan kesihatan aku semakin menyusut dengan batuk yang bertambah teruk dan bengkak yang semakin berleluasa kawasan jajahannya, akhirny kami bertemu dengan doktor yang pernah merawatku kali pertama dahulu. Aku merahsiakan perjumpaan aku dengan doktor daripada pengetahuan orang-orang yang melarangku berjumpa doktor. Biarlah... badan ini yang menanggung kesakitan, badan ini yang berisiko. Hanya aku yang berhak membuat keputusan atas badanku sendiri. Orang lain hanya boleh bercakap itu dan ini. Segalanya hanya aku yang tanggung. Doktor itu terus menyuruhku merujuk kepada pakar kerana sudah dua kali aku mengambil antibiotik, tetapi aku masih tidak sembuh.

Ini nanah!
Walaupun surat rujukan ditujukan untuk pakar bedah, tetapi aku ingin berjumpa dengan pakar sakit puan yang juga bidan yang membantuku melahirkan Amru terlebih dahulu. Doktor Norlida melakukan pemeriksaan. Sekali tengok sahaja Doktor Norlida sudah tahu aku terkena breast abscess, tetapi untuk kepastian dia melakukan juga imbasan ultrasound. Sah, breast abscess! Aku mendengar panggilan dibuat kepada Doktor Shahrol, iaitu pakar bedah. Doktor Norlida tanya sama ada aku sudah makan atau belum. Melalui perbualan hari itu, aku mesti dibedah segera. Setelah hampir sejam menunggu Doktor Shahrol, suami terus berjumpa dengan jururawat untuk bertanyakan tentang Doktor Shahrol. Kalau dia lambat lagi, kami mahu makan tengahari dahulu. Jururawat yang bertugas dengan Doktor Shahrol memberitahu Doktor Shahrol ada kecemasan di Pusrawi. Kami mengambil keputusan untuk balik sahaja. Ketika di kaunter pembayaran, aku agak terkejut dengan caj yang dikenakan. Hospital Pakar Al-Islam itu hanya mengenakan bayaran RM11. Terima kasih Doktor Norlida. Imbasan dan khidmat nasihat daripada Doktor Norlida langsung tidak dikenakan bayaran. Aku mengambil peluang bertanya dengan jururawat yang menjaga kaunter pembayaran tentang kos pembedahan breast abscess. Jururawat terus membuat semakan dan memberitahu kosnya adalah sekitar RM2000-RM2500. Itu belum termasuk kos-kos tersembunyi. Aku dan suami berbincang semula sama ada mahu meneruskan pembedahan di hospital itu ataupun tidak. Kos tersebut terlalu tinggi melebihi kos bersalinku. Kami merancang mahu pergi ke Hospital Umum Kuala Lumpur atau Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hikmah yang nyata
Petang itu, aku menghubungi boss untuk bertanyakan sama ada kos rawatan kesihatan sepanjang aku berpantang boleh dituntut ataupun tidak. Sempat juga aku bertanya sama ada sekiranya aku menjalani pembedahan, adakah kos itu turut ditanggung? Boss tidak tahu jawapan yang pasti, lalu menyuruh aku menghubungi pihak sumber manusia (HR). Pada mulanya aku malas mahu menghubungi HR, tetapi gerak hatiku kuat menyuruhku menghubungi HR. Berkenaan dengan pembedahan, pihak HR bangkitkan tentang insurans AIA yang kami ada. Bagaimana aku boleh lupa yang aku ada insurans? Subhanallah... inilah hikmah di sebalik kejadian. Mujurlah Doktor Shahrol ada kecemasan, boss tidak tahu jawapan pada persoalanku, dan gerak hati supaya menghubungi juga pihak HR. Ketika itu masa pejabat hampir habis. Aku kelam-kabut menghubungi pihak AIA. Memandangkan masa yang suntuk, aku tidak dapat bercakap dengan bahagian khidmat pelanggan AIA untuk mengetahui maklumat lanjut. Atas bantuan boss dan HR,aku dapat bercakap dengan ejen insurans. Malam itu juga aku dan suami pergi ke Hospital Pakar KPJ Tawakkal. Amru, anakku yang comel, aku tinggalkan bersama ibu mentuaku. Aku sudah siapkan baju kerana dapat manjangkakan aku akan ditahan di wad. Menurut jururawat, tiada katil kosong pada malam itu dan menyuruh kami datang semula awal pagi besok.


Ini kes kecemasan!
"Sepatutnya you boleh pergi bahagian emergency. Ramai pakar on call. Ini kes kecemasan." Doktor Sukumar menulis dan melukis sesuatu pada kad kesihatanku. Ikutkan aku akan dibedah ketika itu juga, tetapi memandangkan aku baru sahaja makan, maka aku diminta menunggu lagi. Doktor berpesan agar aku berpuasa enam jam. Banyak juga nasihat dia berikan pada kami. Perkara penting yang aku mahu kongsikan di sini adalah, kalau terkena bengkak susu atau abscess, teruskan memerah susu, tetapi air susu yang berubah warna atau ada kelainan lain harus dibuang dan jangan sesekali beri pada bayi kita. (Fakta ini bertentangan dengan doktor kedua yang merawatku dahulu). Selepas 72 jam atau setelah mengambil antibiotik, sekiranya keadaan kita masih tidak menunjukkan tanda-tanda positif, jumpa pakar dengan segera. Mesti ada sesuatu yang perlukan pemeriksaan lanjut. Jangan takut berjumpa doktor dan pakar! Itu yang paling penting. Kalau aku tidak terus berjumpa pakar tempoh hari, tentu keadaan aku semakin teruk, kuman semakin merebak, dan kawasan infeksi semakin memakan diriku. Aku perlu dibedah hari itu juga. Aku diminta datang semula selepas pukul 5. Urusan insuran AIA agak mengambil masa, tetapi doktor pakar, iaitu Doktor Sukumar memberi jaminan semuanya akan ditanggung oleh insuran.

Oh... Amru...
Aku dan suami balik ke rumah dahulu. Buka sahaja pintu, Amru sedang bermain seorang diri di atas sofa. Kaki dan tangannya ligat bergerak. Apabila ditegur, dia menyahut dan 'berbual' mengikut bahasanya sendiri. Sekali-sekala dia tersenyum dan ketawa. Geramnya melihat Amru. Malam ini, dia akan tidur bersama nenek dan atoknya. Petang itu, kami bergerak semula ke hospital. "Pukul 8 malam ini, U akan dioperate. So, U kena stay di sini sekitar sehari atau dua hari." Selesai urusan surat gerenti,aku dibawa ke wad. Banyak betul suntikan diberi. Wayar berselirat sekitar tanganku. Fikiranku lebih tertumpu pada Amru. Bagaimanalah keadaan dia sekarang ini? Meragamkah dia? Aku membuat panggilan ke rumah. Adik iparku kata, dia ok sahaja. Ramai yang berebut-rebut menjaga Amru. Dia anak yang comel, tidak banyak meragam kecuali ketika lampinnya basah, lapar, dan hendak sendawa. Suami setia di sisiku. Cuma malam itu dia perlu balik menjenguk Amru dan bersolat serta menyelesaikan beberapa perkara di kedai dan rumah.

Cepatlah pengsankan aku...
Aku betul-betul tidak selesa menggunakan baju hospital. Sangat seksi padaku. Berlengan pendek, belakangnya cuma ada pelekat seperti pelekat kasut, dan paras bawah lutut. Pukul 7 lebih, Doktor Sukumar memintaku bersedia. Sekali lagi pelbagai suntikan diberi. Aku diminta menanggalkan tudung. Aku berkeras mahu menggunakan tudung. Sekurang-kurangnya sebelum sampai ke bilik pembedahan. Ketika berada di dalam lif, aku sekali lagi diminta menanggalkan tudung dan anak tudung. Aku berikan penutup kepala seperti shower cap.. Aku akur kerana hanya kami di situ. Sampai ke bilik pembedahan, jantungku mula berdegup. Aku ditinggalkan di situ sementara menunggu pembedahan lain selesai. Agak besar juga kawasan bilik pembedahan itu. Aku tidak sabar untuk dipengsankan. Aku tidak selesa dengan baju. Jururawat pula tidak menutup bahagian lenganku dengan sempurna. Agak malu dengan leher terdedah. Aku cuba menarik selimut agar menutupi bahagian leher ke bawah dengan sempurna, tetapi terbatas kerana tanganku berselirat dengan tube air. Aku tutup sekadar apa yang aku mampu sahaja.

Mendengar bunyi monitor jantungku sendiri.
15 Julai 2010, hari ini pembedahan pertamaku akan dilakukan.Pelbagai wayar disambungkan ke badanku. Dadaku dilekat dengan wayar yang dihubungkan dangansebuah monitor. Aku mendengar dengan jelas bunyi bip jantungku. Doktor Faridah menyuntik cecair putih di tanganku. "Puan, sudah siap." Aku masih rasa mangantuk dan pejam lagi. "Fadila, sudah siap." Doktor Sukumar pula mengejutku. Jururawat sibuk mencabut pebagai wayar di badanku. Pada awalnya aku fikir, mereka sudah siap menyuntik cecair putih tadi, rupanya aku sudah siap dibedah. Pukul 9 lebih aku ditolak masuk ke wad.Suami ingin datang, tetapi masa melawat hampir tamat. Alhamdulullah, semuanya selamat. Batuk yang aku deritai selama ini hilang serta-merta. Rasa denyut dan bisa juga hilang.Aku benar-benar rasa lega.

Dressing yang mengerikan
Pagi-pagi suamiku sudah sampai. Dia mengejutku dari tidur. Malam tadi aku tidak dapat tidur lena. Fikiranku asyik teringat pada Amru. Kehadiran jururawat untuk menggantikan botol air juga membuatkan aku terjaga. Dr.Sukumar datang awal pagi untuk melakukan prosses dressing. Aku disuntik ubat tahan sakit. Aku tidak berani melihat luka pembedahanku. Suami melihat proses itu dari awal hingga habis. Segumpal kapas bertali-tali dikeluarkan dari luka pembedahan. Luka yang dalam dibersihkan. Aku menahan rasa pedih. Luka pembedahanku memang tidak dijahit. Luka itu mesti dicuci setiap hari dan dibiarkan baik sendiri tanpa sebarang jahitan.

Terima kasih
Aku sangat berterima kasih pada suami yang setia menjagaku. Aku sangat bersyukur dikurniakan suami seperti dia. Terima kasih juga kepada keluarga ibu mentua yang sudi menjaga suami dan anakku sepanjang aku ditahan di wad. Rakan-rakan PTS Professional yang datang melawatku juga amat menyenangkan hatiku. Sekurang-kurangnya hilang rasa sunyiku. Terima kasih Mar, Kak Ann, Za, Fatin, Shuna, dan Shiela kerana datang melawat. Terima kasih atas doa yang dikirimkan. Alhamdulillah aku semakin pulih sekarang. Proses dressing sudah boleh dilakukan selang sehari. Semoga aku cepat sembuh. Amiin.

Thursday, June 10, 2010

Detik Kelahiran Amru al Aas

Cutilah ...
"Aik, ada lagi? Bila akak nak cuti ni? Dah sarat sangat dah ni." Seorang demi seorang menegurku. Masuk ke minggu 39 aku masih aktif bekerja. Malah, ada kalanya aku balik lambat daripada staff lain. Cuti tahun lepas pun liat juga dihabiskan, sampai boss memberi amaran agar aku tidak lagi membatalkan cuti. (Dua kali aku membatalkan cuti tahun lepas yang wajib dihabiskan hanya kerana kerja.)Sebelum balik dari pejabat, Cik Fatin dan Tuan Aizat sempat berpesan agar esoknya (hari sepatutnya aku bercuti)aku tidak datang ke pejabat.

Doktor Norlida menetapkan agar janji temu kami seterusnya berlangsung pada 21 Mei kerana hujung minggunya penuh dengan janji temu lain. Alang-alang 21 Mei itu jatuh pada hari Jumaat, suami memintaku agar terus bercuti kerana masa itu kandunganku sudah memasuki minggu ke 40. Akhirnya aku akur, lalu mengisi borang cuti bersalin bermula dari 21 Mei hingga 21 Julai 2010.

Amaran Dr. Norlida
Sepatutnya janji temu kami adalah pada pukul 8.30 pagi, namun suami malas mahu pergi awal. Katanya, 'kita bayar'. Pagi itu, kami sempat bersarapan dahulu. Kami tiba di Hospital Pakar al-Islam, Kampung Baru sekitar 10 lebih. Memandangkan kami tiba lambat, maka ujian air kencing dimansuhkan. (Sebenarnya ada sebab kenapa Dr. Norlida menetapkan janji temu kami awal pagi. mmm....)Dr. Norlida memeriksa bukaan rahim. "Belum buka lagi. " Dr. Norlida tersenyum lalu menanggalkan sarung tangannya. Kami duduk di hadapannya. "Macam ni la Puan Fadila, kalau 31 haribulan ini masih lagi belum terbuka, saya ingat nak induce." Air mukaku mula berubah. Aku takut induce. Orang kata sakit. Dr. Norlida menetapkan janji temu seterusnya pada 30 haribulan.

Misi mempercepatkan bersalin
Balik dari hospital, aku mengajak suami pergi berjalan-jalan. Kata orang, kalau banyak berjalan, senang bersalin. Mulalah misi berjalan kami petang itu. Pada 22hb, kami berjalan sakan sampai pusing dua shopping kompleks. (Wangsa Walk dan Jusco.) Sakitnya kaki Tuhan sahaja yang tahu. Malam itu dan beberapa hari berikutnya aku jalan berjengket-jengket. Tumit dan telapak kakiku bagai tidak boleh memijak lantai. Setiap hari suami mengurut kakiku yang bisa. Setiap hari aku berdoa agar aku bersalin sebelum 31hb. Aku selalu bercakap dengan bayi di dalam rahimku agar cepat-cepat keluar.

Apakku menangis
Apak masih lagi di hospital. Setiap hari aku menghubunginya. Kalau aku lambat sikit menghubunginya, dia akan menghubungiku (setiap kali dia menghubungiku, aku akan memintanya meletakkan telefon kerana aku akan menghubunginya kembali. Aku tidak tega menghabiskan kreditnya untukku). Aku jarang dapat menghabiskan perbualanku dengannya. Malah, pernah beberapa kali, aku langsung tak berpeluang bercakap dengannya kerana dia sudah 'tidak boleh bercakap.' Hati siapa tidak sebak apabila hanya sempat mendengar esakan seorang ayah. Dia sangat risaukan aku, dan aku pula sangat risaukan dia. Aku masih boleh mengawal tangis apabila bercakap dengannya. Aku berpura-pura gembira. Beberapa kali aku meminta adikku membatalkan penerbangannya ke Kuala Lumpur untuk menjagaku berpantang kerana padaku apak harus diutamakan. Apak pula memujuk adikku agar menemaniku di Kuala Lumpur kerana kasihan padaku yang akan berpantang tanpa keluarga kandung. Adikku, Ema sudah serba salah. Memandangkan keadaan apak semakin stabil, adikku Lan dan Ema memutuskan agar meneruskan penerbangan ke Kuala Lumpur pada 25hb.

Misi berjalan lagi
Setibanya kedua-dua adikku di Kuala Lumpur, mereka agak terkejut melihat perutku yang memboyot. Pada mereka perutku besar sangat. Keadaan perutku yang besar itu menghalang pandanganku daripada melihat anak tangga, he... he.... Macam-macam barang dan ramuan untukku berpantang mak kirimkan dari kampung. Malah, minyak selusuhpun dikirimnya.Mak kata,minyak selusuh harus dipakai bermula dari kandungan yang berusia tujuh bulan dan ke atas. Petang 26hb, aku berkira-kira membawa dua orang adikku berjalan-jalan. Suami membawa kami ke The Curve, Mutiara Damansara. Sempat juga kami merakamkan beberapa keping gambar bersama adik-adikku. Suami membelikan tiket wayang Robinhood. Penat betul petang itu. Sampai sengal-sengal rasa kakiku. Harap-harap, aku dapat bersalin sebelum 31hb.

Air ketubanku pecah!
Seusai solat Subuh, aku menyambung tidur. (walaupun tidak mengantuk). Kononnya, bangun dari tidur itu nanti, aku ingin mencuba minyak selusuh yang mak kirim. Sebenarnya aku masih ragu-ragu dengan minyak selusuh kerana kalau boleh,aku ingin melahirkan bayiku tanpa sebarang 'desakan'lain.Pelbagai cerita tentang minyak selusuh yang agak mengerikan aku. Ada yang kata, air selusuh ataupun minyak selusuh tidak elok digunakan kerana takut bayi sudah nak keluar, tetapi bukaan rahim masih tidak mengizinkan. Padahnya, si ibu akan dibedah. (yang ini lagi aku takut). Mak cuba meyakinkan aku, walaupun masih 50-50, tetapi sebagai tanda terima kasih dan perasaan 'cuba sahaja lah', aku mula mengambil minyak selusuh, lalu meletakkannya berhampiran dengan tempat tidurku. Kerana tiada rasa mengantuk, aku mencuba pelbagai gaya tidur. Sekejap melintang, sekejap mengiring ke kanan, sekejap mengiring ke kiri. Tiba-tiba, aku merasakan ada air yang banyak keluar. Aku segera bangun. Agh... air semakin banyak. Aku ketakutan, lalu memanggil suami yang tertidur di sofa. Aku segera mandi. Tiada kesakitan langsung. Aku mengejutkan dua orang adikku. Aku masih tenang. Teringat kisah Koutney Khardasian semasa ingin melahirkan anak lelakinya. Dia begitu tenang sehingga boleh menarik anaknya sendiri keluar dari rahim. Itu yang memotivasikan aku bahawa bersalin tidaklah sengeri yang orang lain gambarkan. Yang penting, 'mind set'. Aku sempat bersolek tipis ketika berada di dalam kereta. 'Hamboi... nak bersalin pun sempat bermake up. Betul-betul hot mummy!' Suami menegurku yang leka dengan bedak padat. Sempat juga aku membebel dengan beberapa kereta yang aku kira lembap dan pemandu yang seperti tidak tahu memandu kereta. Apabila teringat yang aku sekarang dalam proses mahu melahirkan, aku beristigfar panjang. Suami tersenyum sahaja.

Tenangku tidak menenangkan
Keluar dari kereta, air ketubanku mengalir lagi. Lenjun pula aku rasakan. Sampai di pintu Hospital Pakar al Islam, aku masih tenang menunggu suami memakir kereta. Adik lelakiku pula yang cemas. Dia bertanya itu ini dengan jaga di situ. Walaupun disuruh duduk di atas wheel chair, aku berkeras mahu menunggu suami, hinggalah air ketubanku mengalir sekali lagi di depan pintu hospital. Kali ini, aku agak malu mahu berjalan, lalu akur dan duduk di atas wheel chair. Jururawat dan jaga di situ terus membawaku berjumpa doktor. Bukaan sudah 3.5cm. Aku diarahkan agar terus dibawa ke bilik bersalin. Wah... Amru sudah mahu keluar. Aku masih tidak merasa sebarang kesakitan. Di bilik bersalin, suami sempat merakam gambarku yang masih boleh tersengih di atas katil bersalin. Ketika itu jam menunjukkan angka 11.20pagi. Perut suami berkeroncong. Kasihan dia. Seketul kuihpun belum dimakannya. Suami menggenggam tanganku sambil membaca doa yang ada ditampal di dalam bilik bersalin. Aku mengikutnya perlahan-lahan.

Epidural ataupun tidak?
Melalui pembacaanku, mengambil epidural boleh menyebabkan si ibu kurang peka dengan kontraksi dan bayi yang dilahirkan nanti asyik mengantuk. Aku memutuskan untuk tidak mahu menggunakan epidural. Aku ingin merasakan bagaimana mak melahirkan aku dahulu. Beberapa kali doktor dan jururawat di situ bertanya, namun aku tetap dengan keputusanku. Ada seorang jururawat yang agak senior menasihatkan agar aku mengambil suntikan epidural. Katanya, aku harus membuat keputusan yang betul sebelum bukaan rahimku mencecah 6cm. Ketika bukaan rahim meningkat dari satu cm ke satu cm, aku sudah mula merasakan sakit bersalin. Sakit yang sekejap ada sekejap hilang, tetapi amaaaaaat menyakitkan. Aku cuba bertahan, tetapi apabila jururawat memeriksa bukaan rahim dan bertanya untuk kali terakhir sama ada aku mahu mengambil suntikan epidural ataupun tidak, aku benar-benar dalam kesakitan. Akhirnya, aku menggigil-gigil memberitahu jururawat di situ bahawa aku rasa aku sudah berubah fikiran. Aku menghubungi suami yang tadinya keluar sebentar untuk ke tandas. Suami akur sahaja. Doktor yang menguruskan suntikan epidural itu berkata, dia sudah mahu balik ketika itu, tetapi dia masih menungguku takut tiba-tiba aku berubah fikiran. Akhirnya aku tewas, lalu disuntik dengan suntikan epidural. 10 minit selepas itu, kesakitanku menyusut. Aku semakin tenang menghadapi proses bersalin. Aku menghantar sms kepada keluarga dan rakan-rakan memohon ampun, dihalalkan segalanya, serta mengharapkan mereka mendoakan kesejahteraan dan keselamatan aku dan bayi.

Fadila boleh! 1,2,3, pushhhhhhhhhhh!
Masuk waktu Zohor, suami keluar sebentar untuk bersolat dan makan tengah hari. Bukaan rahimku sudah 6cm lebih. Sepeninggalan suami, bukaan rahimku semakin meningkat agak laju. Sekejap sahaja sudah 8cm. Kalau menurut cerita kawan-kawan dan pembacaanku, bukaan rahim selalunya 1cm per 1 jam. Aku menjangkakan aku akan bersalin sekitar pukul 4 petang. Hampir pukul 2, Doktor Norlida terkejut melihat bukaan yang agak cepat. Dia meminta jururawat menghubungi suamiku. Setelah dicuba, mereka gagal menghubungi suamiku. Dalam hatiku berdoa agar suamiku tidak tertidur di mana-mana. (kalau dia tidur, alamatnya aku akan bersalin tanpa suami di sisi). Aku meminta agar aku sendiri yang menghubungi suami. Alhamdulillah, dapat. Sekejap sahaja suami tiba dengan tercungap-cungap. Nasib baik dia makan berhampiran dengan hospital. Dia menggenggam tanganku erat-erat dan membaca doa agar aku mudah bersalin. Nasihatnya yang berjela-jela tidak semua masuk ke sanubariku kerana aku sedang menahan kesakitan. Tiba-tiba aku rasa mahu membuang air besar. Ketika itu Doktor Norlida menyuruh aku meneran. Segala gunting dan pisau di sisi doktor amat mengerikan aku. '1,2,3 pushhhhhhhhh!'Ibarat pasukan sorak, doktor dan jururawat memberi semangat kepadaku. Aku cuba sedaya upaya. Beberapa kali aku gagal. Cara meneran pun salah. Aku minta diberikan air. (sempat lagi). Sepanjang proses meneran, dua kali aku minta diberkan air. Doktor memeriksa denyutan jantung bayiku, lalu menasihatkan aku cuba sedaya-upaya. Kasihan baby katanya. Mendengarkan itu, aku bertekad akan cuba sedaya upaya dan segigih yang mampu. Beberapa kali aku mendengar jururawat dan doktor berkata, 'dekat situ je lagi.' Mungkin ada yang tersangkut, aku sendiri tidak pasti. Setelah mencuba sekuat mungkin, akhirnya lahirlah Amru al Aas. Aku tidak melihat rupanya sangat, cuma bahagian pinggang ke bawah sahaja yang jelas. Tangisan bayiku tidak terus keluar. Setelah dibersihkan lendir-lendir dari dalam mulut dan hidungnya, bayiku dibawa keluar, ketika itulah tangisan bayiku yang nyaring bergema di segenap penjuru bilik bersalin. Suami bersiap-siap untuk mengazan dan mengiqamatkan bayiku. Suami masuk semula menemuiku yang sedang dijahit. Kata suamiku bayi kami sempurna, sihat, dan macam muka dia. Aku tersenyum sahaja. Alhamdulillah.... Aku sangat bersyukur.

Pandangan pertama
Aku dinasihatkan agar berehat terlebih dahulu. Aku lihat adik lelakiku seperti menahan sebak. Kalau orang lain terus mengiringiku masuk ke wad, dia hanya merenungku dari jauh. Aku tertidur kerana keletihan yang amat sangat. Bangun dari tidur, aku melihat orang-orang tersayang semuanya ada di sisiku. Mak dan ayah mentua juga sudah ada di sisi. Jururawat segera menghantar bayiku ke wad. Pertama kali menatap wajah anakku, hatiku sebak. Alhamdulillah, bayiku sangat comel dan montel. Hilang segala kesakitan. Nikmatnya mendapat bayi, hanya yang mengalaminya sahaja yang tahu. Sejajar dengan perancangan awal, bayiku diberi nama Amru al Aas sempena nama panglima perang yang menakluk Baitul Maqdis dan Mesir dari cengkaman Romawi. Beliau juga antara panglima perang yang paling pandai mengatur strategi. Aku difahamkan berat bayiku adalah 3.57, tetapi dalam rekod, mereka mencatatkan 3.51kg. Menurut pembacaanku, berat bayi memang akan susut sedikit daripada berat asal ketika dilahirkan. Bayiku memang punctual. Lahir tepat seperti jangkaan awal doktor, iaitu pada 27 Mei 2010. Kata bossku, anakku punctual seperti mummynya ketika membuat buku (kerja). He... he.... Maha besar kuasa Allah, sebaik aku melahirkan Amru, apakku juga keluar dari hospital. Keadaannya semakin stabil dan sihat. Dia cukup gembira mendengar detik kelahiran cucu lelakinya.

Lenanya Amru al Aas
Hari ini genap 16 hari Amru dilahirkan. Sudah beberapa hari juga aku tidak lena tidur kerana Amru suka berjaga malam dan tidur di siang hari. Ketika ini, dia sedang lena di hadapanku. Daddynya juga begitu. Cara tidur dan rupa mereka memang sama. Semoga Amru al Aas menjadi anak yang soleh, rajin, dan sihat. Amiin.

Wednesday, May 19, 2010

Kasihnya Ayah Sepanjang Hayat

Tak semua sayang harus dilafaz,
Tak semua gembira dizahirkan dengan senyum,
Tak semua sedih berteman air mata,
Hatiku menangis tak siapa tahu ...

Lelaki tua yang ku panggil apak...
Aku agak rapat dengan apak. Dari kecil lagi, di mana ada apak, di situ ada aku. Kawan-kawan apak sangat kenal dengan aku kerana aku akan turut duduk semeja dengan mereka di kedai kopi.

"Jangan... masukkan bawang dulu, baru masukkan telur." Sampai sekarang aku ingat ketika apak mula mengajarku menggoreng telur. Masih jelas dalam ingatanku. Rasanya aku belum lagi bersekolah. Aku memang gemar memasak. Pernah sekali, aku membuat kek seorang diri di rumah. Telur, tepung, pewarna, aku campurkan sesuka hati. Mak marah betul, tetapi kek itu dimasaknya juga dan disuruhnya aku makan. Kalau tidak silap, aku makan kek itu sampai habis walaupun tidak sedap.

Parut kenangan

Ketika aku mengurut-urut pergelangan kaki seusai solat, baru aku perasan parut yang ada di kakiku. Nostalgia zaman kanak-kanak terimbau kembali. Aku begitu riang ke sekolah hari itu. Apak menghantarku dengan basikal. Aku cuba meniru lagaknya ketika duduk di belakang. Apak kayuh laju, aku pun kayuh laju walaupun tidak ada pedal basikal extra di tempat duduk belakang. Kalau tidak silap, ketika itu aku menyanyi lagu Pok-pok Bujang Lapok dengan kuatnya. Basikal apak adalah basikal tua berwarna hitam. Hampir sampai ke sekolah, kakiku terperosok ke dalam rim basikal. Aku menjerit sekuat hati. Apak cemas lalu mencabut kakiku perlahan-lahan. Darah mengalir dari pergelangan kakiku. Sakitnya Tuhan sahaja yang tahu. Apak membawaku balik ke rumah. Mak membersihkan dan membalut lukaku. Ingatkan boleh la aku ponteng sekolah hari itu, tetapi apak tetap juga menghantarku ke sekolah.

Kali ini, aku duduk diam sahaja di belakang. Aku menahan kesakitan. Walaupun kakiku sudah dibalut, tetapi darah masih menembusi stokingku. Aku lihat apak bercakap dengan cikgu tadikaku. Cikgu memandang simpati kepadaku. Sebenarnya aku agak liat ke sekolah. Setiap hari mak atau apak mesti menemaniku ke sekolah. Aku mula berani ke sekolah hanya ketikaku hampir habis belajar di tadika. Itupun mak atau apak sentiasa menjengukku. Dulu aku benci melihat parut di kakiku, tetapi sekarang itulah kenangan bersama apak yang akan abadi di badanku.

Aku belajar menanam buah-buahan
Hari itu aku menyaksikan proses membuat tut pada pokok. Aku begitu teruja melihat proses itu. Aku pandang dua batang pokok betik di luar rumah. Itu pokok kesayangan mak. Aku terus mengambil parang dan cuba membuat tut pada pokok betik mak. Dari dalam rumah, mak pelik melihat pokok betiknya bergoyang-goyang. Angin tiada, monyet tiada, tetapi goyangan pokok betik itu sangat mencurigakan. Mak terus pergi ke tingkap betul-betul menghadap pokok betik. Ketika itu, aku sedang menetak-netak batang pokok betik itu yang kononnya untuk dibuat tut. Mak menjerit kuat. Aku dimarahi dengan teruk. Mujurlah pokok betik itu tidak tumbang.

Tidak berjaya dengan proses tut, aku beralih minat pada buah-buahan import pula. Aku mengisi tin milo dengan tanah. Biji-biji epal dikambus kemas. Aku bawa 'pasu'milo itu ke kedai kopi apak. Aku masih leka menunjukkan proses menanam epal kepada kawan-kawan dan adikku. Kononnya, akulah yang paling pandai menanam buah. Apak dengan prihatin menghampiri kami. "Buat apa, tu?" Apak bertanya lembut sambil membongkokkan sedikit badannya. Aku berbangga memberitahu apak yang aku sedang menanam buah epal. Apak tersenyum. "Buah epal hanya boleh hidup di kawasan sejuk. Kat sini tak boleh." Lembut nasihat apak. Tempat sejuk? Emmm....

Esoknya, seperti biasa apak akan sibuk pada pagi hari. Ramai yang datang bersarapan di kedai kopi apak. Ketika membuka peti sejuk, apak terkejut melihat 'pasu' daripada tin miloku yang penuh dengan tanah ada di dalam peti sejuknya. Apak terus memandangku. Aku dengan tidak bersalah masih diam membisu. Aku sebenarnya masih tertanya-tanya apa salah aku. Semalam, dia juga yang memberitahuku pokok buah epal hanya boleh hidup di kawasan sejuk. Peti sejuk kan sejuk. Salah kah? Bila diingat-ingat kembali,lucu pula rasanya.

Warna air
Sebelum pergi ke sekolah, aku meminta duit daripada apak untuk membeli pewarna atau cat air untuk kelas Pendidkan Seni. Aku berada di tingkatan empat masa itu. Apak kata, nanti dulu. Kemudian-kemudian pun boleh beli. Kali ini, tak perlulah beli dulu. Aku pergi ke sekolah tanpa warna air. Memang aku hampa, tapi tidak mengapalah. Boleh pinjam pewarna kawan dulu.

Pintu kelas diketuk oleh seorang pengawas. Dia juga sekampung denganku. Memang aku kenal dengan dia. Namaku dipanggil. Aku keluar dengan tanda tanya yang berlegar di kepala. Aku ada buat salah kah? Dia menghulurkan warna air kepadaku. Dia kata, apak datang naik motor menghantar warna air untukku. Sebenarnya aku rasa tidak percaya. Sampai sekarang aku masih rasa terharu. Terbayang-bayang apak menaiki motor membeli warna air dan menghantarnya ke sekolahku. Hari itu juga, cuaca sangat panas. Kesian apak,mujurlah dia terserempak dengan Adha, pengawas yang sekampung denganku. Rumah kami pun dekat sahaja.Itulah kasih seorang ayah ...

Mak dan apak tidak adil
Aku selalu cemburu dengan abang. Aku merasakan abang selalu dapat lebih. Mak risau kalau abang merajuk kerana setiap kali abang merajuk, dia mesti mahu pulang ke kampung nenek di Semarang. Oh, lupa pula,abangku tinggal bersama nenek sehingga berusia 12 tahun. Dia akan datang ke Saratok ketika musim cuti sekolah. Dialah cucu dan anak buah kesayangan mak cik dan pak cikku. Rasanya semua orang manjakan abangku. Ada juga berlaku perebutan kerana mak dan apak sudah lama berhajat mahu mengambil abang tinggal bersama-sama kami, tetapi kerana kasihankan nenek lebih-lebih lagi apabila atukku meninggal dunia, mak banyak kali mengalah.

Semasa abang memasuki tingkatan 1, abang dihantar ke Sekolah Menengah Pusa, iaitu sekitar 45 minit dari rumah kami. Apak menjenguk abang. Keadaan sekolah itu tidak memuaskan hati. Abang pula ada penyakit lelah. Itu dijadikan alasan untuk mak dan apak mengambil abang untuk bersekolah di Saratok dan tinggal terus dengan kami. Kedudukan aku terasa sedikit tergugat. Memang aku suka abang tinggal bersama kami, tetapi kami selalu merasakan abang selalu dilebih-lebihkan. Kalau makan, dia suka makan seorang diri, sedangkan kami yang lain akan berkongsi. Kalau mak dan apak tidak dapat memenuhi keinginannya, nenek, mak cik-mak cik dan pak cik-pak cikku pasti cuba memenuhi permintaan abang. Aku selalu melahirkan rasa tidak puas hati pada mak. Aku menuduh mak dan apak pilih kasih. (Aku hanya berani meluahkan perasaan tidak puas hati kepada mak. Kalau dengan apak, aku diam sahaja. Mak kata, mereka tidak pilih kasih. Hatiku begitu keras mengiyakan kata-kata mak kerana aku masih merasakan mereka memang pilih kasih. Apak tahu tentang ketidakpuasan hatiku, tetapi tidak pula memarahiku. Pada suatu hari, apak berkata kepadaku, lihat bagaimana mak dan apak menjaga adik-adikku yang masih kecil. Apak kata, begitulah mereka menjagaku dahulu. Penuh lembut dan kasih sayang. Hatiku tersentuh. Aku terfikir sejenak. Ya, benar kata apak. Merekalah yang menyuapku makan, memandikan aku, merapikan rambutku, dan mendidikku dengan penuh kasih sayang. Mereka tidak perlukan lafaz sayang secara terangan kepada kami. Cukup sekadar digambarkan melalui perbuatan. Aku insaf ....

Tanggungjawab apak terhadapku sudah bertukar tangan
Apak antara orang yang bertungkus-lumus ketika hari bersejarahku. Aku lihat sendiri kegigihan apak memikul kayu untuk membuat tempat memasak. Tubuh tua itu kulihat tidak segagah dulu. Rambutnya sudah bertukar warna. Apakku sudah tua. Aku anak pertama yang akan melangsungkan perkahwinan. Ketika aku dinikahkan, aku lihat apak begitu cemas. Suaranya tersekat-sekat. Apaklah orang kuat membelaku ketikaku memilih untuk tidak bersanding. Dia tidak pernah memaksa. Terpulanglah kepada diriku sendiri. Selesai sahaja majlis perkahwinan kami, apak kelihatan sangat letih. Dia tertidur di kerusi. Hatiku diruntun pilu. Kasihannya apak. Mesti dia kepenatan. Aku perhatikan susuk tubuh yang sangat aku sayangi itu. Aku hanya berbisik dalam hati betapa aku sayangkan apak dan sangat berterima kasih kepada apak. Aku tidak mampu meluahkannya dengan kata-kata. Aku yakin, sebelum setiap butir rasa itu aku luahkan kepada apak, pasti air mataku gugur dahulu.

Cucu untuk apak
Pada hari raya tahun lepas, apak pernah berlucu denganku dengan mengatakan aku harus menggosok-gosok tubuh kecil Fathiyah (anak abang) di perutku agar aku cepat mengandung. Aku cakap, sekarang Allah belum kurniakan kami rezeki untuk menimang cahaya mata. Apak senyum sahaja. Sebenarnya, ketika itu aku sedang mengandung tetapi aku tidak tahu bahawa aku sedang mengandung. Aku fikir, kelambatan 'bendera merah'berkibar adalah disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk traveling. Aku mengetahui bahawa aku mengandung setelah aku sampai ke Kuala Lumpur. Aku begitu teruja mengkhabarkan berita itu kepada keluargaku di kampung. Apak terlalu gembira hingga dia menitiskan air mata. Dia sudah tidak dapat bercakap denganku di telefon kerana terharu mendengarku mengandung. Kebetulan apak demam pada masa itu. Katanya, demamnya tidak teruk. Selang beberapa minggu, apak ditahan di hospital. Hampir sebulan apak di hospital. Aku dinasihatkan agar tidak menaiki kapal terbang kerana usia kandungan yang belum pun mencecah 3 bulan sangat berbahaya dan boleh menyebabkan perkara buruk berlaku. Setiap hari aku akan bercakap dengan apak melalui telefon. Doa-doa tidak putus dari bibir dan hatiku agar apak cepat sembuh. Sudah tidak terkira berapa banyak air mataku mengalir. Sebak memikirkan diriku tidak dapat berada di samping apak. Alhamdulillah ... akhirnya apak keluar juga dari hospital.

Sakit dada apak, sakit juga dadaku
Aku fikirkan keadaan apak sudah sembuh sepenuhnya. Kalau pening pun pening-pening biasa. Hari ini, adikku menghantar message memberitahu apak ditahan di hospital lagi. Apak sakit dada. Sekali lagi aku tersepit. Tidak putus-putus doa dan rayuanku agar Allah memberi ihsan dan kasih sayangnya kepada apak agar apak cepat sembuh. Bagaimana aku mahu pulang ke kampung pada saat-saat aku menunggu kelahiran cahaya mata pertamaku. Tidak ada penerbangan mahu menerima penumpang yang sedang hamil 9 bulan dan hanya menunggu saat kelahiran. Aku sedih sangat. Aku masih belum berkesempatan bercakap dengan apak hari ini. Petang tadi dia masih diperiksa, belumpun malam menjadi pekat, apak sudah dibuai lena. Tidak sampai hati pula mahu menyuruh adikku mengejutkannya daripada tidur. Ya Allah ... aku merayu kepada-Mu ya Allah, sembuhkanlah apak. Panjangkanlah usianya. Berikanlah dia kesempatan lagi. Aku benar-benar merayu, Ya Allah. Berikanlah keajaiban agar apak sembuh.... Amiin...

Monday, May 17, 2010

Menjelang 39 Minggu ...

Ramai yang terkejut apabila melihat kelibatku di pejabat hari ini. Mereka menyangka aku sudah mula bercuti. Aku rasa biasa sahaja. Aku cuba menyiapkan kerjaku sebelum aku cuti bersalin. Walau tidak seagresif dulu, tetapi aku membuatnya perlahan-lahan. Sikit-sikit, lama-lama siaplah.

Kasut ... oh ... kasut.
Sudah beberapa hari aku menemani suami mencari kasut. Hari Sabtu yang lalu, kami pergi ke Jusco yang pada aku cukuuuupppp panjang dan besar. Ya, banyak pilihan, tetapi ... bertemukah kami dengan pilihan hati? Pada awal kehamilan dulu, kami pernah juga ke situ. Sampai perut berkeroncong, tidak juga bertemu tempat makan yang sesuai. Kadang-kadang, apabila sudah kepenatan, aku mula menarik muka masam. Kesian suamiku. Kali ini, saat aku menunggu kelahiran anak sulung, kami ke sini lagi. Pusing punya pusing, alih-alih tidak juga bertemu kasut idaman suamiku. Alahai ... cerewet juga suamiku rupanya. Ada sahaja yang tidak kena. Yang berkenan di hati, tiada pula stok warna yang dia gemari, ada juga yang tidak menepati size yang sesuai untuk kaki suamiku, malah harga juga menjadi pertimbangan ya atau tidak yang mengambil masa. Aku mengambil kesempatan duduk di kedai kasut semasa suami membuat pilihan dan mencuba itu dan ini. Sambil memberi pendapat, aku boleh juga berehat. Sampai satu saat, aku iyakan sahaja apa yang ada di tangannya kerana aku benar-benar kepenatan.

Menginjak ke 10 malam, kami mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke rumah. (Alhamdulillah ....) Perjalanan menuju ke parking kereta pun banyak juga cabarannya. Dua kali aku berhenti berehat di bangku panjang yang banyak terdapat di situ. Aku biarkan sahaja suami menyinggah mana-mana kedai yang dia ingini. Kakiku rasa lenguh yang amat. Baby juga menendang aktif dan ada kalanya agak menyakitkan. Sepanjang menyelusuri jalan menuju parking, suami singgah juga ke kedai yang menarik perhatiannya. Terus-terang, dalam hatiku berdoa agar kami cepat-cepat pulang. He...he...

Mana kereta?
Adoi ... sudahlah aku rasa seperti mahu terberanak, kami tidak pula berjumpa jalan menuju ke parking. (Tak jumpa jalan kami mula-mula masuk.) Redah sahajalah. Akhirnya kami menapak agak jauh untuk menjejaki MyVi Maroon suamiku. Aku tidak mengiya atau menolak ajakan suami untuk pergi ke uptown. Suamiku faham-faham sendiri melihat aku yang keletihan. Balik ke rumah, aku terbaring keletihan. Agak lambat juga aku menunaikan solat Isyak. Selesai salam dan berdoa, aku mengurut-urut kaki yang lenguh. Baru aku sedar, pergelangan kakiku membengkak. Malam itu, suamiku mengurut kedua-dua belah kakiku. Inilah contoh suami mithali...

Berehatkah aku?
Aku tergerak hati untuk membaca pengalaman dan persediaan ibu-ibu yang lain menjelang 39 dan 40 minggu kehamilan. Semuanya mencadangkan benda yang sama, iaitu istirahat. Ada yang mengalami masalah kerana tidak cukup istirahat. Aku bertanya pada diriku sendiri, berehatkah aku? Sudah beberapa hari aku tidur sekitar 2 ke 3 pagi kerana menyiapkan kerja pejabat. Sabtu dan Ahad pun macam hari bekerja juga, malah aku bekerja dari pagi hingga pagi. Berhenti untuk perkara perlu sahaja. Aku menyental jubin-jubin tandas hampir dua jam, masih lagi melakukan kerja-kerja rumah seperti biasa, dan bekerja kadang-kadang lebih daripada biasa. Kenapa? Emm ... kerana aku selalu risau kerjaku tidak siap sebelum aku cuti bersalin, aku tidak mahu menyusahkan orang lain untuk menyiapkan kerjaku, aku risau ketika aku bersalin rumah dalam keadaan yang memalukan, aku risau segala-galanya. Membaca pengalaman kaum ibu yang lain, aku menjadi sedikit cuak. Aku yang berkira-kira mahu menyambung kerja pejabat selepas melayari internet terus membatalkan niat itu. Ya, sudah sampai masanya aku berehat!

Saturday, May 15, 2010

Hari Ibu

9 Mei 2010 adalah hari istimewa buat ibu-ibu di seluruh dunia.

Aku belum bergelar ibu, cuma bakal bergelar ibu beberapa hari lagi. Memandangkan 9 Mei jatuh pada hari Ahad, aku mengisi masa lapang untuk menyiapkan kerja-kerja pejabat yang masih belum siap. (Aku selalu fikir fasal kerja. Mmm...)Petang itu, suami menghubungiku untuk mengajak aku keluar. Dia mahu membeli kasut dan membawaku berjalan-jalan. Selalunya aku yang akan beria-ia mengajaknya keluar. Kalau tidak ke shopping kompleks, pusing-pusing Setapak pun jadilah.

Baru menginjak pukul 6 petang, suami sudah berkira-kira mengajak aku pergi makan. Kami makan di restoran makanan barat di Kampung Baru. Wah... ramai juga ibu mengadung makan di situ. Boleh kata di kiri, kanan, depan, belakangku ada ibu mengandung. Dalam ramai-ramai itu, aku rasa aku lah yang paling sarat. Aku makan chicken chop dan air tembikai kosong ais.

Kejutan daripada suami tercinta

Selesai makan, kami beransur ke shopping kompleks. Terasa bayiku menekan bahagian abdomen. Aku terasa tidak selesa. Aku berjalan perlahan-lahan. Aku masuk ke tandas sebaik sampai di shopping kompleks. Keluar dari tandas, suamiku menungguku di ruang depan tandas. Tiba-tiba suami menghulurkan sekuntum bunga mawar merah. Wah ... terharu pula rasanya. Beberapa pasang mata hanya memerhati. Aku perasan ada seorang lelaki tersenyum-senyum memandang kami. Terselit juga rasa malu di hatiku. Kata suami, bunga itu hadiah daripada bakal anak kami.

Tiada kasut yang kami dapat beli petang itu. Semuanya tidak berkenan dan susah juga mencari size kaki suamiku. Kami pulang hanya membawa satu majalah yang aku beli. Syukurlah....

Hari ibu kali ini amat bermakna buat diriku. Walaupun aku tidak merancang untuk meraikannya, waima terfikir suami akan meraikannya untukku pun tidak terlintas,tetapi hari ini tetap terasa lebih istimewa. Ketika ini, degup jantungku bersatu dengan satu lagi degupan jantung si kecil di dalam rahimku. Di dalam perutku ada nyawa yang berlindung. Pengalaman mengandung mengajarku erti pengorbanan dan kasih sayang. Aku insaf setiap kali kesakitan atau ketidakselesaan melandaku. Beginilah keadaan ibuku ketika mengandungkanku dulu. Malah, aku rasa aku tidak setabah dan sekuat ibu.

Saatku lahir ke dunia

Ibuku melahirkan aku di rumah. Ketika itu, ibu masih menetap di rumah nenekku di kampung. Tiada hospital pun di situ. Kalau mahu ke hospital, penduduk Kampung Semarang terpaksa meredah jalan berliku, berselut, dan meredah lautan selama dua jam. Aku dilahirkan sekitar 10 pagi pada 7 Oktober 1982. Namaku diberi oleh Mak Usu.

Aku tidak kenal erti pengorbanan seorang ibu hinggalah aku menginjak dewasa. Apatah lagi apabila aku mengandung. Masih segar dalam ingatanku ketika ibu melahirkan adik bongsuku, Norli. Baru seminggu lepas melahirkan adikku, ibu sudah mula bekerja. Ketika itu hujan renyai-renyai. Ibu meredah hujan dan mendukung Norli hanya dengan berlindung di bawah sekaki payung. Telinga ini sendiri mendengar orang mengutuk dan mengata tentang ibuku. Sedih dan pilu merajai hatiku. Besarnya pengorbanan ibu untuk kami sekeluarga. Ibu ketepikan rasa sakit, lemah, dan sebagainya demi keluarga.

Aku dan ibu, kenangan yang tidak mungkin aku lupakan.
Kejadian ini berlaku ketikaku berusia sembilan tahun. Aku teringin mahu minum air yang berais. Ketika itu ibu sedang sarat mengandungkan adik kedua bongsu. Memandangkan peti sejuk kami jenis yang besar dan dalam (peti sejuk yang biasanya digunakan untuk meletak daging), tanganku tidak sampai untuk mengambil ais. Aku berusaha juga untuk mengeluarkan ais dari peti sejuk itu. Aku ambil penjolok baju yang diperbuat daripada besi, lalu merejam ais dalam peti sejuk. Ibu marah dengan tindakanku kerana ia boleh merosakkan peti sejuk. Lagipun ais tersebut memang sukar dikeluarkan. Aku berkeras mahu ais itu juga. Ibu terbongkok-bongkok mengambil ais itu untukku. Sebaik sahaja berjaya mengambil ais itu, aku lihat ibu menahan perutnya. Nampak keperitan dan kesakitan yang ibu tanggung. Aku menyesal sangat ketika itu, tetapi tiada kata maaf yang aku lafazkan. Ibu mencubit lenganku atas kedegilanku. Aku menangis dan pergi ke sekolah sesi petang dengan air mata dan lebam di lengan. Hingga sekarang aku masih ingat kejadian itu. Kini, setelah aku mengandung, baru aku tahu tindakan membongkok akan memberi tekanan pada perut dan bayi dalam kandungan. Apatah lagi apabila perut tertekan dengan objek keras. Walau berjuta maaf aku lafazkan buat ibu, tidak mungkin dapat memadam kesilapanku.

Setiap orang ada kenangan manis dan pahit bersama ibu. Aku tidaklah serapat mana dengan ibu. Tetapi, jauh di sudut hati, aku sangat mengagumi ketabahan ibu. Dia tetap ibu terbaik di dunia bagiku. Terima kasih ibu....

Tuesday, May 11, 2010

Degupan jantungku dan bayi

Sudah lama aku tidak mengemaskinikan blog ini. Cerita-cerita tentang aku, dipendam begitu sahaja. Hari ini aku bercuti kerana ada janji temu dengan doktor di Pusat Perubatan Islam Kampung Baru atau lebih dikenali dengan nama Kampung Baru Medical Centre(KBMC). Selepas Subuh, aku menyiapkan kerja-kerja pejabat sambil mendengar celoteh Fara Fauzana dan Faizal Ismail.Pukul 9 lebih baru aku bersiap-siap untuk ke KBMC.

Tidak ada yang berbeza daripada apa yang aku lalui sebelum ini. Perasaan aku biasa sahaja. Pergerakan bayiku juga tidak mencurigakan. Dia aktif seperti biasa. Aku dijangka akan bertemu dengan doktor pakar lain. Bukan kerana Doktor Norlida tidak ada, tetapi sebagai langkah persediaan kalau-kalau ketika aku ingin bersalin nanti, Doktor Norlida tidak dapat menyambut kelahiran bayiku. Sekurang-kurangnya ada doktor back up yang tahu kondisiku dan kandungan.

Setelah ditimbang berat badan dan diambil urine, aku menunggu giliran untuk bertemu dengan doktor. Jururawat yang menguruskanku sejak awal tadi datang kepadaku memberitahu Doktor Ros ada perbincangan, maka aku perlu berjumpa dengan Doktor Norlida juga. Aku mengiyakan sahaja. Lagipun aku cukup selesa dengan Doktor Norlida yang ramah-tamah dan murah senyuman.

Hari ini,usia kandunganku sudah mencecah 37 minggu 5 hari. Khamis ini, cukuplah 38 minggu. Ramai yang sudah bersalin ketika usia kandungan 38 minggu. Tekanan darah ok, pergerakan bayi pun ok, saiz bayi tidak ada yang memusykilkan, dan Doktor Norlida kata, kepala bayi sudah turun ke bawah dengan cantiknya. Bila-bila masa sahaja aku boleh bersalin. Memandangkan semuanya ok, Doktor Norlida mahu memastikan bahawa adakah aku benar-benar sudah bersedia untuk bersalin. Jantungku mula berdebar. Beberapa kali Doktor Norlida menyuruhku bertenang. Aku sukar bertenang kerana aku memang takut. Lagipun, inilah kali pertama aku diperiksa 'sedemikian rupa'. Doktor kata, belum ada bukaan. Cuma kepala bayi sudah cukup hampir. Mungkin hari ini aku belum melahirkan. Dia berpesan agar aku sentiasa bersedia. Hari ini, akan ada darah turun sikit. Tapi tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Itu hanya berpunca daripada pemeriksaan yang dijalankan tadi. Aku tenang kembali.

"Selepas ini, puan kena periksa degupan jantung bayi pula. Selepas itu, puan akan berjumpa kembali dengan saya,"kata Doktor Norlida dengan ramah. Seketika kemudian, namaku dipanggil. Kebetulan ketika itu suami mendapat panggilan telefon. Maka, aku masuk seorang diri. Memang suami mahu masuk selepas itu, tapi dia tidak tahu pula di mana aku ditempatkan. Lagipun, ada pesakit lain di situ. Setelah perutku dipasang dengan Electronic fetal monitoring (EFM), iaitu alat untuk mengesan degupan jantung bayi, aku diminta memicit butang sekiranya bayiku bergerak. Jururawat itu pun cukup ramah. Macam sudah mengenaliku lama. Aku dapat mendengar dengan jelas degupan jantung bayiku. Dup... dap... dup... dap... Tapi, bayiku tidak bergerak langsung. Sudah lenguh badanku berbaring. Ketika itu, aku terfikir juga mahu menekan sahaja butang tersebut walaupun tiada pergerakan yang berlaku, tetapi kalau aku mahu jawapan yang tepat, itu bukan tindakan yang betul. Aku lupakan sahaja bisikan syaitan itu dan menunggu dengan penuh sabar. Ku ketuk-ketuk sedikit perutku, aku gerakkan sikit posisi badan. Jururawat datang menutup alat tersebut. Ketika itu baru bayiku bergerak. Ish... geram pula aku dibuatnya. Graf degupan jantung bayi diambil, lalu diserahkan kepada Doktor Norlida. Jururawat itu kembali lagi dan mengatakan aku kena melalui sesi tersebut sekali lagi kerana degupan jantung bayiku 'tidak cantik'. Ketika itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaanku. Cemas dan takut yang amat sangat. Jantungku mula berdegup kencang. Hatiku tidak putus-putus berdoa supaya semuanya ok.

Doktor Norlida masuk ke bilik pemeriksaan itu dengan kening berkerut. Baru tadi dia scan bayiku. Segalanya nampak ok. Dia membetulkan semula tali yang seperti tali pinggang itu di perutku. "Sengetkan badan,"ujarnya. Aku menurut sahaja. Alat pemeriksaan itu dipasang semula. "Ha, tu ok. Tidur ni. Sekarang dah bangun." Aku kembali tenang walaupun kadang-kadang rasa cemas itu berlegar-legar jua. Kali ini, bayiku aktif sekali. Pergerakannya sangat terasa. Aku dipanggil menemui Doktor Norlida. Menurutnya,tadi bayiku tidur. Alat tersebut juga tidak "kena sangat". Mungkin maksud Doktor Norlida, "tali pinggang" yang dipasang di perutku tidak dipasang dengan betul oleh jururawat tadi. Tidak tepat kawasannya.

Aku terasa tidak selasa di bahagian abdomen ketika balik dari KBMC. Aku berjalan dengan perlahan sahaja. Ada sesuatu yang membuatkanku gundah-gulana. Memang Doktor Norlida ada berpesan, akan ada pendarahan sikit. Tidak perlu risau. Aku tetap juga risau. Sudah sampaikah masaku untuk bersalin. Aku bed rest sahaja di rumah sampai tertidur. Rasa penat merajai seluruh badan.

Selepas menunaikan solat Asar, barulah aku pergi ke rumah emak mentua. Aku sudah bersetuju untuk memasak makaroni bakar di rumahnya. Adik-adik ipar juga bersemangat mahu belajar dan menolong. Rasa teringin makan kuih talam masih belum hilang. Suami kata, tak perlulah beli kuih talam. Birasku ada membuat puding karamel hari ini. Aku rasa sedih sekali. Kuih talam dan puding karamel tidak sama. Aku nak juga kuih talam. Akhirnya suami bawa juga aku membeli kuih talam. Semua jenis aku beli. Puas, memang puas. Aku bukan nak makan banyak sangat. Cuma mahu merasa.

Makaroni bakar siap dimasak. Sekejap sahaja licin. Mujurlah birasku datang menolong. Tidak lah aku merasa penat sangat. Memandangkan suami bekerja di kedai malam ini, maka aku tinggal sahaja di rumah mak mentua.

Sebenarnya, hatiku masih dirundung risau. Aku akui, aku selalu sangat memikirkan kerja di pejabat. Aku selalu merasakan aku perlu menyiapkan kerjaku sebelum cuti bersalin. Kalau aku bersalin malam ini atau besok, maka buku Teknik Memori SmartStudy akan terbengkalai. Ada hikmahnya di sebalik kejadian pagi tadi. Akhirnya aku sedar, ada nyawa yang kudambakan selama ini yang perlu aku fikirkan lebih daripada kerja. Ya Allah... aku benar-benar mengharapkan kelahiran bayiku ini dengan selamat. Zuriatku ini lebih penting. Aku boleh bergantung harap pada Puan Azliza untuk menyiapkan final pruf untuk buku itu sekiranya tiba-tiba aku bersalin awal.

Doakan aku dan bayi selamat.

Saturday, January 9, 2010

Rahsia 30 tahun Keluarga Mackenzie Philips

Oprah... Oprah... Oprah!
Semasa kami baru berkahwin, suami selalu bising kerana aku suka sangat menonton talk show Oprah Winfrey. Dia tanya, kenapa aku minat sangat orang kafir seperti Oprah? Aku banyak jawapan untuk soalan itu, tapi nantilah aku ceritakan. Yang penting, aku rasa tidak salah mengikuti perkara yang baik tentang seseorang walau siapa pun dia. Ya... sebab ia adalah perkara yang baik, kenapa perlu ragu-ragu. Aku berpeluang menonton talk show Oprah ketika suamiku tiada di rumah. Kalau boleh aku tidak mahu ketinggalan topik perbincangan Oprah. Aku tidak berminat untuk bercerita tentang Oprah kali ini. Semalam aku menonton Oprah bersama adik lelakiku di rumah. Mackenzie, anak perempuan seorang lagenda rock John Philips kembali ditemu bual. Topiknya masih berkisar tentang rahsia keluarga Mackenzie Philips yang dibongkar beberapa bulan yang lalu. Ia adalah rahsia yang mengejutkan orang ramai. Aku sendiri terbawa-bawa cerita silam Mackenzie Philips dalam mimpi. Betapa ngerinya!

Muka surat 108
Oprah terpaksa menandatangani satu surat hanya kerana dia mahu mengimbas buku tulisan Mackenzie yang digam daripada dipasarkan atas alasan terlalu ekstreem. Aku lampirkan bukunya di sini.

Penonton akan dapat merasakan betapa tertekannya Mackenzie di hadapan kamera. Semua mata bertumpu padanya. Apa hebatnya cerita tentang Mackenzie yang bergelut dengan najis dadah, alkohol, dan rahsia keluarga berabad lamanya. Bibir Mackenzie kelihatan sedikit menggigil, tangannya juga begitu. Matanya juga menunjukkan betapa tertekannya Mackenzie. Dia masih keliru sama ada mahu mendedahkan rahsia keluarga pada umum atau tidak. "Bacakan muka surat 108," kata Oprah. Mackenzie mengambil buku High on Arrival, lalu menyelak muka surat satu persatu. Semakin lama suaranya semakin menggigil. Air matanya mula bergenang. Ini adalah petikan daripada buku High On Arrival yang menyentap hati siapa sahaja.

"I woke up that night from a blackout to find myself having sex with my own father. I don't remember how it started or, thankfully, how it ended. … Was it the first time? Had this happened before? I didn't know and I still don't. All I can say is that it was the first time I was aware of it. For a moment I was in my body, in that horrible truth, and then I slid back into a blackout. Your father is supposed to protect you. Your father is supposed to protect you, not f*** you."

Aku terkesima beberapa ketika, lebih terkesima apabila Mackenzie mengatakan rahsia keluarga itu telah dia pendam lebih 30 tahun. Kini, ayahnya yang durjana itu telah tiada di muka bumi. Mackenzie tetap mengatakan ayahnya bukan seorang yang jahat, cuma kejahatan alkohol dan dadah telah meracuni ayahnya. Mackenzie masih berumur 10 tahun ketika melihat ayahnya mengambil dadah di hadapannya. Dia menjadi pembantu ayahnya menggulung dadah ke dalam rokok. Mackenzie mula mengambil dadah kokain pada usia semuda 11 tahun. Semasa membintangi filem American Graffiti, iaitu seminggu selepas menyambut hari jadi ke 18 tahun, Mackenzie telah ditangkap atas kesalahan pengambilan dadah.

Mackenzie Bersemuka dengan Ayahnya
Mackenzie memberitahu penonton bahawa kali pertama dia ingat dirogol oleh ayah sendiri ketika dia berusia 17 atau 18 tahun. Dia tidak ingat adakah benar itu pertama kali dia dirogol? Apa yang dia tahu adalah ia tidak akan menjadi kali terakhir. Suatu hari, ketika terjaga daripada lena yang panjang akibat mabuk teruk malam sebelumnya, Mackenzie perasan ada satu susuk lelaki berbaring di sebelahnya. Mackenzie cuba untuk tidak berfikiran negatif sebab lelaki itu adalah ayahnya. Mackenzie cuba menghapus bayangan buruk, namun Mackenzie sedar perkara buruk benar-benar berlaku kepadanya. Mackenzie cuba bersemuka dengan ayahnya.

"Look, we need to talk about how you raped me."
"Raped you? Don't you mean when we made love?"


Pada masa itu, Mackenzie benar-benar rasa keseorangan.

Ketika kumpulan Mamas & Papas mengadakan jelajah Hawaii, Mackenzie menemani ayahnya seperti biasa. Ada kalanya, dia tidur sebilik dengan ayahnya. Pernah satu ketika, ayahnya yang dalam keadaan khayal mengajak Mackenzie pergi ke Fiji. Masyarakat Fiji tidak memandang serong pada hubungan mereka. Ayahnya percaya, masyarakat Fiji boleh menerima hubungan sumbang mereka sebagai perkara biasa. Ayahnya berangan mahu membawa tiga orang adik Mackenzie,Bijou,Tam dan Shane bersama. Mereka akan membesarkan Bijau, Tam, dan Shane sebagai anak mereka. Ketika itu Mackenzie seolah tersentak dengan kenyataan ayahnya. Tidakkah ayahnya sedar bahawa Mackenzie adalah kakak kepada Bijau, Tam, dan Shane?

Mackenzie memiliki teman lelaki pada masa itu, tetapi teman lelakinya tidak tahu apa yang berlaku antara Mackenzie dengan bapanya. Menurut Mackenzie, pada mulanya memang dia tidak rela dirinya menjadi 'hamba' ayahnya sendiri, tetapi masa demi masa mengubah dirinya. Akhirnya sumbang mahram itu berlaku atas dasar suka sama suka. Itulah kuasa jahat yang boleh dibawa oleh dadah dan alkohol! Setelah 10 tahun sumbang mahram itu berlaku pada dirinya, Mackenzie mula meletakkan noktah pada tindakan tidak bermoralnya. Bukan atas kesedaran yang datang dari hati, tetapi dia sedar tatkala mendapati dirinya sedang hamil. Dia tidak tahu siapa ayah sebenar janin yang sedang membesar di dalam rahimnya. Adakah anak kepada suaminya atau ayahnya. Mackenzie memberitahu ayahnya tentang apa yang berlaku pada dirinya. Akhirnya, Mackenzie menggugurkan bayi tersebut atas biayaan ayahnya.

Azam Mackenzie
Sejak kejadian pengguguran janin itu, Mackenzie menanam azam untuk menjauhi dadah dan arak. Dia mengajak ayahnya agar sama-sama meninggalkan kedua-dua najis itu, namun ayahnya menolak. Ayahnya yakin, walau apapun terjadi, dia tetap akan okey. Pada tahun 2001, ayah Mackenzie nazak. Mackenzie sempat bertemu dengan ayahnya. Dalam tangisan dan kekesalan yang dalam, Mackenzie cuba untuk mengikhlaskan diri memaafkan ayahnya. Dia tetap menyayangi ayahnya. Dari sudut kejahatan yang terjadi, ayahnya pernah menjadi idola Mackenzie, ayahnya tetap ayahnya, dan ayahnya menjalankan tanggungjawab sebagai ayah yang betul ketika dadah dan arak tidak mempengaruhi dirinya.

Mackenzie Masih Belum Bebas
Pada mulanya, Mackenzie merasa bebas setelah kematian ayahnya. Namun, dia seolah dihukum atas tindakannya yang lalu. Mackenzie bertarung dengan bayangan hitam kenangan silam. Dia cuba mencari alasan kenapa dia perlu hidup lagi. Akhirnya lahirlah High on Arrival yang menceritakan titik-titik hitam dalam hidup Mackenzie Phillips. Beban yang ditanggung selama ini terasa ringan kerana rahsia 30 tahun lebih sudah terbongkar.

Saturday, January 2, 2010

Anugerah yang Maha Kuasa

Malu kerana Petai
Walaupun sudah berhari-hari berada di Kuala Lumpur, namun alah dan kesan salah makan yang mungkin disebabkan oleh petai masih menggangguku. Badanku terasa lemah. Macam keracunan makanan. Suami mengajakku berjumpa doktor, tetapi aku menolak. Biasanya kalau sudah beberapa hari lambat period, doktor mesti mahu membuat ujian air kencing. Kalau air kencingku berbau petai, bagaimana? Aduh ... malu aku! Paling-paling, doktor akan tanya apa yang aku makan. Kalau aku menipu doktor, nanti doktor tidak dapat mengesan apa masalah aku yang sebenarnya. Mak mentua suruh aku minum air Active8. Setiap hari aku makan vitamin. Setiap pagi dan malam aku minum air madu. Musykil juga dengan keadaan kesihatanku ini.

Apa yang parahnya, aku susah merasa makanan dan minuman. Aku pakai buat sahaja. Manis atau tidak, masin atau tidak, aku terpaksa minta tolong orang lain untuk merasanya. Adik iparku yang sudah beranak dua, mula sangsi. "Kak Nor pregnant tak?". Aku rasa mustahil pula. Kalau aku pregnant, aku mesti loya setiap pagi, kerap kencing, sentiasa rasa lapar dan lain-lain. Tidak ada pula simptom pregnant itu padaku. Yang ada adalah simptom keracunan makanan.

Sedapnya Belimbing Buluh
Mak mentua bercerita tentang masak lemak campur belimbing buluh yang dia petik tepi jalan semasa jogging. Aku mula terliur mendengar tentang belimbing buluh. Mak mentua kata, belimbing buluh sudah tidak ada. Setiap kali teringat, aku mesti menelan air liur. Sedang mak mentua memasak di dapur, aku tanya lagi, tak tinggal satu pun kah belimbing buluh itu. Mak mentua mula mencari belanga yang masih bersisa. Ada sedikit lagi kuah masak lemak. Alhamdulillah, ada dua ketul belimbing buluh yang sudah lembik akibat dimasak. Aku habiskan semuanya. Mak mentua yang kasihan, terus membuka peti sejuk kot kot terjumpa belimbing buluh yang dia terlepas pandang. Wah ... ada satu belimbing buluh yang kecil dan kontot! Aku basuh lalu masuk dalam mulut. Puas hati aku. "Besok kalau mak jogging, mak ambil untuk Nor." Itulah mak mentua aku. Orangnya sangat baik hati.

Pagi-pagi mak mentua aku talifon menyuruhku turun mengambil belimbing buluh. Banyak juga belimbing buluh dipetiknya. Sebahagiannya aku simpan dalam peti sejuk, sebahagian lagi aku simpan dalam plastik dan masukkan dalam hand bag. Kalau aku pergi mana-mana dan terasa teringin makan belimbing buluh, aku tidak perlu teringat-ingat atau menelan-nelan air liur lagi.

10 Hari yang Mendebarkan
31hb September 2009 menandakan sudah 10 hari aku lambat period. Aku mengajak suami membeli pregnancy test kit. Aku membeli yang paling murah sekali. (Takut membazir). Malam itu suami sempat berpesan, jangan gatal-gatal hendak membuat pregnancy test dulu. Tunggu lagi dua tiga hari. Tapi kondisi badan ditambah lagi dengan period yang delay sampai 10 hari benar-benar menggodaku untuk membuat pregnancy test. Pagi itu aku terjaga pukul 5 pagi lebih. Subuh pun belum. Aku terasa mahu ke bilik air. Aku mengambil pregnancy test kit, lalu membawanya ke bilik air. Macam mana mahu menggunakannya juga aku tidak tahu. Aku bawa masuk kotaknya sekali. Aku ikut gambar dan arahan yang ada pada kotak. Perasaanku sangat berdebar-debar. Sekejap sahaja dua line timbul. Aku beliakkan mata. Biar betul! Aku seakan tidak percaya. Aku pergi ke dapur pula. Semua lampu aku buka. Aku salah lihat kah? Aku ambil kotak pregnancy test lalu meletakkan test kit betul-betul di atas kotak. Aku membuat perbandingan. Sah! dua line. Dua line bermakna aku pregnant. Tanganku masih menggigil, debaran jantungku masih belum surut. Aku kejutkan suami untuk sama-sama memastikan result dari pregnancy test itu. Suami yang mamai-mamai layankan juga kerenahku. Reaksi suami biasa sahaja. "Ha, pregnant. Mmm ..." lepas itu, dia terus sambung tidur. Aku tidak dapat melelapkan mata lagi. Aku tunggu sahaja azan subuh. Beberapa kali aku melihat test kit dan kotaknya. Sebenarnya aku masih tidak percaya. Keadaan aku yang lemah dan terasa tidak sihat ditambah lagi dengan hasil ujian kehamilan itu membuatkan aku memutuskan bahawa aku perlu pergi ke klinik hari itu. Aku sms rakan sekerja menyatakan aku tidak sihat.

Merajuk, tetapi Teruja!
Aku sebenarnya merajuk dengan reaksi pertama suamiku pagi itu. Padaku dia tidak teruja. Proses memujukku sahaja sudah beberapa minit. Suami kata, dia tengah mamai. Lagipun, biarlah semuanya disahkan doktor terlebih dahulu. (Sekarang, aku menyesal dengan tindakanku yang merajuk entah apa-apa). Dr. Intan yang biasa merawatku mengatakan ujian kehamilan biasanya 99% tepat, tapi untuk benar-benar mendapat kepastian aku memutuskan aku perlu melakukannya sekali lagi. (takut aku yang salah guna pregnancy test semasa di rumah.)Doktor Intan mengajarku bagaimana menggunakan alat tersebut. (kelihatan lebih mahal daripada apa yang aku guna di rumah). Sekali lagi aku berdebar-debar. Aku tidak perlu menunggu lama untuk melihat dua line yang jelas timbul pada alat ujian kehamilan tersebut. Doktor Intan mengesahkan aku sudah hamil sebulan lebih. Sebulan lebih? Maknanya aku sudah hamil semasa aku mengangkat buku di stor semasa bulan puasa lepas, aku sudah hamil ketika aku menaiki kapal terbang, dan semasa aku tergelincir di halaman rumah di kampung, sudah ada janin sedang membesar di dalam rahimku. Aku mula mengingat apa yang aku lakukan sepanjang kehamilan yang tidak aku sedari itu. Semasa mengemas dapur, aku tolak peti sejuk tanpa pertolongan sesiapa. Aku angkat tv lama masuk ke stor. Sofa dan meja aku tolak sendirian. Aduh ... banyak betul perkara yang tidak patut dilakukan oleh wanita hamil telah aku lakukan. Nasib baik aku tidak makan nenas!

Khabar buat Keluarga
Adik ipar yang sudah lama menjangkakan aku hamil terus meneka aku mesti baru balik dari klinik apabila melihat aku tidak bekerja hari itu. Bila aku iyakan, dia terus bertanya positive atau tidak walaupun aku tidak menyatakan kenapa aku ke klinik. Sebaik sahaja aku mengatakan positive, dia menjerit kegirangan. Semua turut teruja. Apa lagi, panas la telinga suamiku menerima bebelan ibu mentua tentang bahaya rokok pada isteri yang sedang mengandung dan kesan pada bayi yang dikandung. Hari itu aku masih rasa sedang bermimpi. Di dalam rahimku berdegup jantung insan lain. Satu amanah yang aku dan suami harus terima dengan penuh tanggungjawab. Keluarga di kampungku juga menerima berita ini dengan gembira. Ibu dan ayah memang teruja jika aku yang mengandung. Maklumlah... anak perempuan mereka mengandungkan cucu mereka. Kehamilan ini semakin menginsafkan aku. Beginilah perasan ibu dan ayahku ketika aku membesar di dalam rahim ibuku. Aku benar-benar insaf .... Ya Allah, jadikan aku anak yang baik, dan jadikan anak dalam kandunganku juga baik, sempurna sifatnya, baik budinya, hebat akal fikirannya, dan berbakti di jalan-Mu. Amiin ....

Pertama Kali Suami Beraya di Sarawak

Baju Raya
Suamiku kata, kami akan membeli baju raya di Jalan Tunku Abdul Rahman (Jalan TAR). Girang sungguh rasa di hati. Bukan kerana baju raya, tetapi kerana bunga idamanku ada di situ. Semoga terbuka pintu hati suamiku untuk membeli bunga idamanku yang kuanggankan akan diletak di sudut ruang tamu. Macam-macam alasan kuberikan kenapa kami perlu membeli bunga. Akur dengan kehendakku, suami turutkan juga langkahku ke kedai bunga.Tapi keadaan yang sesak dengan manusia, ditambah lagi dengan hujan renyai bertukar lebat, suami mula memberi pilihan. Yang mana lebih penting, bunga atau baju raya? Besok pagi, kami akan terbang ke kampung. Waktu semakin suntuk. Mahu tidak mahu, akhirnya kami melupakan tentang bunga idaman. Alhamdulillah, hujan semakin reda. Cuma renyainya masih belum surut.

Nak satu atau lebih?
Aku beritahu suami untuk membeli lebih daripada sehelai baju raya. Suami kata, satu cukuplah. Banyak-banyak buat membazir sahaja. Aku tidak kisah kalau hanya ada sehelai baju raya kerana baju kurungku memang banyak. Tapi suami hanya ada beberapa helai baju melayu yang sesuai untuk raya. Ku kira, suami mesti membeli sehelai lagi baju raya kerana raya di Sarawak lain daripada raya di Semenanjung. Memandangkan malam semakin pekat, kami balik sahaja dengan masing-masing sepasang baju raya.

Berhari Raya dengan Orang Baru
Persiapan hari raya keluarga kami lebih meriah kali ini. Keluarga kami sudah ada tiga orang baru. Dua menantu, seorang cucu. Anak buah pertamaku diberi nama Noor Fathiyah Bahirah. Comel sangat! Dia dilahirkan seminggu sebelum raya. Aku lebih suka memanggilnya Fatihah kerana sudah terbiasa begitu. (Mula-mula aku fikir namanya Nur Fatihah Bahirah). Walaupun baru keluar dari hospital, namun pada hari raya pertama, si kecil yang comel itu terpaksa dibawa semula ke hospital untuk pemeriksaan demam kuning. Mujurlah Fathiyah tidak ditahan di hospital. Aku leka bermain dengan si kecil yang kuat tidur. Puas aku usik-usik badan dan mukanya, tapi dia tetap lena. Biarlah ...

Hari Raya Kedua yang Asing
Kami bersiap-siap untuk balik ke kampung ibu di Kampung Semarang. Aku agak berlengah mahu balik ke kampung kerana rasa tidak sedap badan. Kepala masih sering pening, tekak loya, dan perut memulas-mulas. Mungkin sebab banyak makan petai. Aku baru sahaja pandai makan petai. Entah kenapa, teruja betul aku dengan petai kali ini. Inilah kali pertama aku memasak petai goreng belacan. Mak yang ajar. Sedap sungguh! Sedang bersiap-siap, suamiku tercinta bertanya, kenapa adik beradik lelakiku semuanya berbaju melayu. Hanya dia seorang sahaja yang berbaju T. Jiran-jiran pun masih berbaju melayu dan bersamping. Aku mula tersenyum. Itulah bezanya raya di Sarawak dan Semenanjung. Kami beraya lebih lama di sini. Kemeriahannya berpanjangan sama seperti raya pertama. Sampai di kampung, suamiku lebih merasa terasing kerana hanya dia yang berbaju T. Di kampung, masih ramai yang membuat kenduri raya. (Makan nasi). Dari satu rumah ke satu rumah kami pergi. Semuanya memaksa kami untuk makan. Lepas makan nasi, makan kek pula. Air pula, air gas. Aduh ... berapa lah penambahan berat badanku lepas raya ini.

Aku Sudah Gemuk!
Mak cik Pak cik ramai menyangka aku mengandung. Uhhh ... pedih sungguh. Suami hanya tersenyum. Ada lah modal dia mengejekku semakin gemuk. Kadang-kadang aku iyakan sahaja. Mak Ngahku siap meraba perutku kerana benar-benar menyangka aku mengandung. Sebenarnya masa ini aku memang mengharapkan telahan mereka benar. Tapi apakan daya, kita merancang, Tuhan yang menentukan. Sebenarnya, suamiku juga ditegur semakin gemuk. Tak apalah, suami isteri sama-sama gemuk. Itu tandanya kami sangat bahagia. (Sedapkan hati sendiri... hu...hu...)

Kek Lapis Cheese yang Memukau Mata dan Selera
Hampir semua rumah mak cik dan pak cik ada Kek Lapis Cheese. Rasanya hanya beza sedikit sahaja. Paling sedap ialah Kek Lapis Cheese di rumah Anjang. Selepas merasa dan berborak dengan sepupu sepapat yang lain, aku mula mencari sepupuku, Ati. Apalagi, minta resipi la. Dia berjanji akan smskan resipi itu kepadaku. Katanya, itu kek yang dibuat oleh awek adiknya. (Kami memanggil adiknya Gaban sebab lasak sejak kecil sampai besar. Pandai pulak tu ...)Suami hanya menggelengkan kepala. Katanya, resipi dah menimbun kat rumah pun masih terkejar-kejar dengan resipi orang lain. Ah ... peduli apa, aku minta pun sebab tau dia suka kek cheese, malah adik-adik iparku gilakan kek cheese. Memang aku sudah ada beberapa koleksi kek cheese, tapi aku suka mengumpul pelbagai versi.

Senja yang Indah
Walaupun sudah ada jalan raya, tapi kami masih perlu mendaratkan kereta di dalam perut feri. Kami sempat menyaksikan matahari terbenam. Indahnya pemandangan senja itu. Aku dan suami begitu asyik menyaksikan keindahan laut dan matahari terbenam. Kami berada di dalam feri sekitar 10-15 minit sahaja. Selepas itu, kami meneruskan pemanduan balik ke rumah. Cadangan mahu singgah di rumah Mok (Panggilan untuk pak cik yang ke lima), terpaksa dilupakan. Aku berharap agar malam ini abangku dan keluarganya tidur di rumah kami malam ini. Aku masih belum puas bermain dengan Fathiyah. Alhamdulillah, sesampai di rumah, Fathiyah sedang lena di atas tilam. Aku terus berbaring sebelah tubuh kecil itu.

Aku dukung Fathiyah walaupun dia masih lena. Aku suka bayi perempuan. Soal zuriat kami, aku tidak kisah lelaki atau perempuan. Kalau ditakdirkan aku mengandung, aku terima sahaja apapun yang Allah anugerahkan. Keinginanku untuk ada anak semakin menebal apabila memeluk tubuh kecil Fathiyah. Dulu aku pernah terfikir untuk honeymoon setahun sebelum ada anak. Tetapi, belumpun setahun, aku sudah bersedia untuk ada anak. Keinginan itu timbul setelah bertukar kerja di Kuala Lumpur. Anak buah suami seramai empat orang itu sangat manja padaku. Aku juga sayangkan mereka tanpa berbelah bahagi. Tidak pernah aku marah walaupun sekali. Nakal itu biasalah. Kadangkala kenakalan budak adalah ujian kesabaran untuk kita yang lebih dewasa. Itulah juga cermin bagi zaman kanak-kanak kita dahulu. Aku semakin insaf tentang pengorbanan ayah dan ibu apabila melihat karenah kanak-kanak.

Fathiyah Sudah Balik
Raya ketiga, kakak iparku bercadang mahu balik ke rumah keluarganya. (Kampung sebelah). Jarak antara rumah mereka dengan rumah kami tidak lah jauh mana. Rasa sayu dan berat mahu melepaskan Fathiyah pergi. Pagi itu aku tertunggu-tunggu suara Fathiyah menangis yang menandakan dia sudah bangun. Tangisan pertamanya benar-benar menggirangkan hatiku. Aku terus keluar dari bilikku dan mengetuk bilik abang di sebelah. Aku ambil Fathiyah dari tangan ibunya. Aku bawa Fathiyah ke riba suamiku. Lama juga dia di samping kami berdua sampai makku memanggil menyatakan dia mahu memandikan Fathiyah dengan air serai wangi. (Petua untuk meredakan demam kuning). Selesai mandi, Fathiyah dan ibunya balik ke rumah mereka. Hatiku bagai diruntun pilu. Aku terus masuk ke bilik. Suami hanya terkesima melihat aku sudah teresak-esak. Ingatkan ada perkara buruk berlaku, rupanya hanya kerana Fathiyah balik. Suami memujukku berkali-kali. Rumah mereka juga bukannya jauh sangat. Aku masih belum puas bermain dengan Fathiyah.

Raya Keempat yang Menyedihkan
Aku ada satu kelemahan, aku tidak boleh melihat siapapun yang menghantarku pergi atau balik. Pasti hatiku sayu. Apatah lagi orang yang menghantarku itu adalah ayah dan ibu. Boleh dikatakan sepanjang perjalanan dari Saratok ke Sibu air mataku tidak henti menitis. Wajah keluarga bermain-main di mata dan minda. Tangisanku mula reda apabila aku mula letih dan mengantuk. Sampai di Sibu, kami mendapati penerbangan kami ditunda dari jam 2 petang ke 2.45. (Menandakan kami akan berlepas sekitar pukul 3 petang). Suami masih lagi hairan melihat masyarakat Sarawak yang masih lagi berbaju melayu dan bersamping. Walaupun tidak semua begitu, tapi kebanyakannya majlis rumah terbuka dihadiri dengan pakaian raya yang lengkap. Suamiku kata, "Macam baru balik sembahyang raya.". Kami sampai di rumah hampir maghrib. Tempoh penerbangan dari Sibu ke Semenanjung adalah 2 jam 50 minit. Aku sangat letih. Tidak sabar rasanya mahu berehat dan berbaring di rumah sendiri. Ikutkan sudah beberapa hari aku lambat period. Mungkin sebab aku travel dari satu tempat ke satu tempat. Masa period boleh berubah kerana beberapa faktor seperti traveling, cuaca, emosi, kesihatan, tekanan, dan lain-lain. Semua itu aku alami. Apatah lagi, aku masih lagi sering pening, loya dan sakit perut yang kufikir gara-gara banyak makan petai. Adikku, Ema cakap, kalau dah tau tak boleh makan petai, kenapa makan lagi. Hu...hu... bukan selalu aku makan petai. Jangan tak tau, petai di kampungku lebih besar daripada petai yang ada di Semenannjung. Rupanya juga cantik dan segar.

Sebenarnya, Semenanjung dan Sarawak banyak bezanya. Rupa, bahasa, makanan, budaya, kepercayaan memang berbeza. Ada yang sama, tapi ada juga yang berbeza. Di Sarawak ada macam-macam jenis beras. Beras bario, sebuti, rotan, bali, rotan wangi, beras merah, beras bukit dan lain-lain. Buah yang ada di sana juga ada yang tidak ada di sini. Pernah dengar buah perap? Buahnya berwarna hijau, berbulu tebal dan kontot. Saiznya seperti buah sukun. Isinya manis. Rupa isinya seperti buah cempedak tapi berwarna putih dan kecil-kecil. Nanti aku ceritakan tentang buah Disu dan buah Pakon (macam durian tapi lebih sedap), buah belimbing hutan, buah jeluwit dan macam-macam lagi. Semuanya sedap-sedap. Air teh c beng, teh mintai, dan fanda susu juga tidak ada di Semenanjung. Kita cerita di lain entri.

Kek Lapis

Sudah lama aku tidak mengupdate blog. Aku tidak tahu mahu bermula dari mana? Cerita tentang hari raya rasanya sudah basi, tapi gatal juga mahu menceritakan perihal raya. Lagipun, raya di Sarawak kali ini lebih istimewa daripada biasa.

Aku cukup teruja untuk balik beraya di kampung halaman. Sebagai persediaan, aku hanya berjaya menyiapkan tiga jenis kek lapis, iaitu kek lapis nescafe classic, kek lapis masam manis, dan kek tikar mengkuang (Biasanya aku membuat sekitar lima ke tujuh jenis, tapi tahun ni aku agak sibuk dan penat). Biskut pun ada beberapa jenis. Aku baru sahaja berjinak-jinak membuat biskut sejak berkahwin. Sebelum ini, aku asyik dengan kek lapisku. Padaku, tidak bermakna raya tanpa kek lapis. Walaupun kadang-kadang aku tersangat penat membuatnya, tapi tidak mengapa. Melihat kek yang cantik dan sedap, semua kepenatan rasa terbalas.

Perihal kek lapis
Kek lapis yang paling mencabar kesabaran dan ketelitian aku adalah kek lapis tikar mengkuang. Ia harus dibuat selapis demi selapis mengikut aturan warna adunan. Siap dilapis, harus dipotong pula. Kemudian, aku perlu melekatkan potongan-potongan tersebut mengikut corak yang aku inginkan. Corak tikar mengkuang agak senang. Bahagian tengah potongan tidak perlu dipotong dua. Cuma biarkan ia segiempat. Susun dan lekat melintang dan menegak sampai habis.Setiap bar corak yang aku dapat perlu dibungkus dan dimasukkan di peti sejuk. Biasanya, keesokan harinya baru aku menyusun bar-bar corak tersebut dan membuat lapisan atas dan bawah kek. Agak susah untuk diterangkan dengan perkataan. Membuat kek lapis perlu berguru, paling tidak dikepilkan langkah demi langkah bergambar dan berwarna.

Di semenanjung, mengikuti kelas membuat kek lapis agak mahal. Sekitar RM250 seorang. Walaupun aku ada basic membuat kek lapis, tapi aku juga pernah mengikuti kelas yang dikendalikan oleh seorang chef yang katanya baru berjinak-jinak membuat kek lapis. Ada dua tujuan kenapa aku masih mengikuti kelas membuat kek lapis walaupun aku sudah mula membuat kek lapis sejak berusia 14 tahun. Tujuan pertama, menimba pengalaman mengendali kelas masakan. Tujuan kedua, mempelajari teknik memasak daripada chef terkenal. Banyaknya pantang larang yang diturunkan oleh chef Norazlina. Putih telur mesti dipukul berasingan dari kuning telur (selama ini aku belasah pukul sekali arung). Tepung wajib diayak untuk memberi lebih udara dalam tepung. (Yang ini aku ikut kerajinan pada masa itu. Kadang-kadang aku balun sahaja. Tapi, selalunya aku ayak la). Ada banyak lagi petua. Tapi yang pastinya, walaupun sebelum ini aku pakai belasah membuat kek lapis, rasanya hanya dua kek yang tidak menjadi sepanjang aku membuat kek lapis. Kek pertama yang aku buat semasa di tingkatan dua. Ia terlalu keras sebab aku pandai-pandai menambah kismis dalam adunan Kek Sharifah Aini (ini nama kek tau, ada yang memanggilnya Kek Aedes), kek kedua Kek Lapis Putih Telur (tak jadi sebab sepatutnya dibakar, tapi aku tak ada oven masa itu. Aku tibai guna pengukus.) Sejak mengikuti kelas membuat kek lapis, aku mula berdisiplin. Aku ikut aturan yang betul.

Lapisan kek hangus!
Sebelum suamiku pergi solat Jumaat, dia sudah berpesan supaya bersiap-siap awal. Dia mahu membawaku membeli baju raya selesai sahaja solat Jumaat. Masa ini banyak lagi kerja yang belum selesai. Lapisan atas dan bawah kek lapis mengkuang belum siap. Sambil-sambil melapis kek, aku membuat kerja lain untuk menjimatkan masa. Lapisan pertama ok, lapisan kedua, aku terlebih budget. Akhirnya lapisan tersebut hangus. Apalagi, aku terus mengambil loyang yang lain dan mula membuat lapisan baru. Kali ini aku lebih berhati-hati, tapi tanganku pula menjadi mangsa oven panas. Lapisan atas dan bawah kek lapis mengkuang ini warnanya sama. Untuk menjadikan lapisan tersebut cantik, aku harus membiarkan lapisan atas kek hangus sedikit supaya apabila selesai melapis, kita akan dapat kek yang berjalur halus di setiap lapisan. Cantik sekali! Akhirnya Kek Tikar Mengkuang siap juga. Aku ada satu perangai setiap kali membuat kek lapis. Aku mesti tak sabar melihat coraknya. Kadang-kadang, panas-panas lagi aku sudah keluarkan kek dari loyang lalu memotong bahagian tepinya untuk melihat corak. Puas betul melihat kek itu cantik tersusun. Yang paling penting kek itu mesti sedap dan cantik!

Kek lapis dibahagi tiga
Semua kek lapis, aku akan bahagikan kepada tiga bahagian. (mak mentua, mak kandung dan untuk aku sendiri). Bahagian untuk aku sendiri agak sedikit kerana aku beranggapan orang semenanjung mesti lebih suka makan biskut. Mak mentua agak teruja membawa kek lapis balik ke kampung. Tetamu yang datang akan asyik membelek kek lapis. Mereka akan tertanya-tanya bagaimana corak-corak dalam kek lapis itu dibentuk. Mereka tidak boleh membayangkan proses membuatnya.

Mujurlah aku membuat kek lapis di KL. Rupa-rupanya adik perempuanku langsung tidak sempat membuat kek lapis sebab sibuk menjahit. Kakak ipar pula baru melahirkan anak buah kami yang pertama. Mak ada juga menempah kek daripada orang kampung. Biasanya kami akan mendapat tiga kek lapis percuma daripada bakal menantu mak. (girlfriend adik lelakiku), tapi tahun ni, Lan dan Miji putus cinta, girlfriend abang pula sudah menjadi isterinya yang sedang berpantang semasa raya. Harapannya cuma kek lapis dari KL.

Kek adikku runtuh.
Dua adik perempuanku yang berusia 18 dan 15 baru berjinak-jinak membuat kek. Mereka mula membuat kek sejak aku berkahwin. (Selama ini harapkan aku sahaja. Mereka tukang cuci telur dan tukang timbang). Malam raya pertama itu, aku benar-benar tidak larat membuat kek lagi. Sudahlah siangnya aku sibuk memasak juadah hari raya, badanku pula sangat penat. Perut terasa memulas-mulas, kepala sering pening. Aku fikir, mungkin aku ada alah dengan sesuatu makanan. Dari atas, aku dapat menghidu bau kek hangus, tapi aku biarkan sahaja setelah mendengar suara adik-adik perempuanku masih ada. Pagi itu, satu keluarga gelakkan kek hasil tangan Ema dan Norli. Keknya hitam legam dan runtuh di tengah. Melihat loyang yang digunakan sahaja aku sudah tahu apa masalah kek tersebut. Loyangnya tidak padan dengan adunan. Sepatutnya, Ema dan Norli menggunakan loyang bersaiz 8" ke 9" X 3", tapi mereka menggunakan loyang 7" X 3". Adunan tepung pula over beat. Suhu terlalu panas. Tidak mengapalah, semua itu proses belajar. Aku harap, sebelum mereka berkahwin, mereka sudah pandai membuat kek lapis. Kalau tidak, malu sahaja dengan keluarga mentua. Lainlah kalau mereka berkahwin dengan orang luar dari Sarawak.

Apa-apapun, kek lapis kami tahun ini cepat sahaja licin. Di kampung, aku sempat meminta beberapa resipi daripada sepupu-sepupuku yang lain. Adik beradik sudah tahu perangaiku jika bertandang raya. Dalam beg sudah tersedia pen. Aku akan merasa satu persatu kek lapis yang dihidang. Yang mana aku berkenan, aku akan kejar si pembuatnya sampai aku dapat resipinya. Semasa zaman sekolah, aku ada satu buku besar salinan resipi kek lapis yang aku minta dari jiran-jiran, kawan-kawan, sepupu sepapat, tetapi sayang seribu kali sayang, buku itu telah hilang. Adik-adikku yang berangan mahu membuat kek lapis semasa ketiadaanku sudah menghilangkan buku tersebut. Sampai sekarang buku itu tidak berjaya ditemui. Mmm ....

Tuesday, August 25, 2009

Pengorbanan Ramadhan

Detik yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba jua. Aku sudah berniat mahu menjadikan Ramadhan ini Ramadhan yang terbaik dalam hidupku.

Semakin hampir Ramadhan, semakin menimbun tugas di pejabat. Bermula pada hari Khamis, team PTS Pro sudah bertungkus lumus menyiapkan projek PERMATA. Hari pertama Ramadhan, aku sempat berbuka bersama suami tercinta. Projek PERMATA benar-benar menuntut pengorbanan yang besar. Sabtu dan Ahad sudah seperti hari bekerja. Malah, lebih daripada hari bekerja biasa. Pergi pagi, balik juga pagi. Mujurlah suamiku faham. Tidur pagi itu, aku bermimpi sedang melakukan scanning buku. Bangun sahaja daripada tidur, aku terus memikirkan rakan di pejabat. Pukul berapa mereka sahur, apalah yang mereka makan sahur itu?

Sedih juga apabila memikirkan pada hari kedua Ramadhan, suami berbuka di masjid. Itupun atas saranan dirinya sendiri. Aku sungguh terharu dan rasa bertuah memiliki suami sebaik suamiku. Dua kali aku tawar-menawar dengannya berkenaan dengan masa balik. Akhirnya dia bersetuju mengambilku setelah habis dia bersenam di gym. Sekitar pukul 1 pagi lebih barulah aku balik ke rumah. Kami bersahur di luar, katanya untuk persediaan kalau-kalau aku terlajak tidur. Sekali lagi aku diruntun rasa bersalah. Aku hanya tidur beberapa jam. Sekali lagi tidurku bermimpikan kerja di pejabat. Aku bermimpi sedang melekat glossy sticker pada buku. Celik sahaja mata, fikiranku terjerumus pada kawan-kawan di pejabat. Pukul berapakah mereka tidur, sudah siapkah buku-buku itu? Rasa bersalah meninggalkan kawan-kawan di pejabat merajai di hati. Apakan daya, aku tidak mampu melakukan pengorbanan sebesar mereka kerana aku ada tanggungjawab sebagai isteri yang mesti aku utamakan. Sahur itu kami makan ringkas sahaja kerana sudah makan sebelum itu. Pagi itu juga aku mendapat message daripada Shiela yang melahirkan rasa syukur kerana Projek PERMATA sudah berjaya disiapkan. Alhamdulillah....

Projek PERMATA, mencuri masa-masa berharga kami bersama keluarga tercinta. Aku lihat sendiri kegelisahan Fatin memikirkan keluarganya. Ahli keluarganya demam di kampung, tetapi dia hanya berpeluang menjenguk sebentar sahaja. Aku dengar sendiri Aizat menghubungi ibunya menyatakan dia tidak dapat berbuka bersama keluarga hari itu. Kak Ann yang juga tunggak keluarga terpaksa menghambakan diri di pejabat dan tidak dapat meluangkan masa bersama keluarga tercinta di Bangi. Ya Allah ... Kau berikanlah hikmah dan balasan yang baik kepada mereka.

Apa yang kita fikirkan, itulah message yang akan dihantar ke seluruh saraf badan kita. Pada Ramadhan kedua, sebenarnya aku kurang sihat. Rasa mencengkam di perut bagai mencarik-carik segala usus dan daging di perut. Aku makan sedikit sahaja walaupun sajian berbuka itu nampak menyelerakan. Kerja dan semangat rakan-rakan PTS Pro secara automatik menghantar message ke otakku agar aku juga harus bersemangat dan melupakan perkara-perkara 'remeh' yang berlaku padaku. Rasa mengantuk dan penat bersatu menjadi satu, namun semuanya kulawan habis-habisan. Aku selalu melihat Kak Ann sebagai inspirasi dan sumber kekuatan team PTS Pro. Dia selalu bersemangat, sabar, dan gigih. PTS sangat beruntung mempunyaI pekerja sehebat Kak Ann. Walau sehebat mana dugaan, dia tetap tabah. Tidak mengapa Kak Ann, biarpun orang lain tidak nampak pengorbanan Kak Ann, biarpun orang lain tidak menghargai apa-apa yang Kak Ann buat, percayalah ... kami sentiasa menyokong Kak Ann. Kami tahu apa yang Kak Ann buat.

Malam yang semakin pekat, bagaikan tidak terasa. Kak Ann dengan tarian indianya, Mar dengan lagu hindustannya, Mazni al-Irfan dengan teknik dan idea barunya, shiela dengan kesasulannya, Fatin dan Aizat yang selalu menjadi mangsa usikan Kak Ann dan Mar, dan aku dengan cerita zaman kanak-kanakku. Kami sentiasa gembira, bahagia, dan bersatu dalam apa juga rintangan. Aku sangat bersyukur mempunyai rakan sepasukan yang sangat sporting, hebat, dan baik seperti mereka. Projek PERMATA semakin mendekatkan hati kami antara satu sama lain. Aku sendiri sangat sayang pada team PTS Pro. Aku pasti akan sangat sedih sekiranya aku terpaksa meninggalkan mereka. Sayang seribu kali sayang, aku tidak berkesempatan mengambil gambar dengan hasil kerjaku sebagaimana rakan-rakan yang lain. Tidak mengapalah, asalkan aku sudah membahagikan masa yang baik antara tugas di pejabat dan tanggungjawab terhadap rumah tangga. Sekurang-kurangnya, pagi itu aku menyiapkan sahur yang sempurna buat suami, dan makanan berbuka buat seluruh ahli keluarga mentuaku.


Semalam, aku menyediakan sizzling yee mee untuk keluarga mentua. Makanan kegemaran suami dan adik-adik iparku. Alhamdulillah ... kami berbuka dalam suasana yang meriah dan gembira. Telatah anak-anak buah amat menghiburkan. Ini juga adalah hadiah buat diriku setelah berhari-hari berkampung di pejabat, akhirnya aku berpeluang juga berbuka bersama keluarga. Aku kepilkan gambar sizzling yee mee di sini.

Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Aku sentiasa berdoa agar pengorbanan yang kami buat ini berbaloi. Semoga projek PERMATA terpilih dan semoga team PTS Pro terus bersatu padu.

Saturday, August 15, 2009

Roti Berlapis Ayam

Semalam, balik dari kerja, aku terus ke rumah mak mentua. Tak sabar nak jumpa mamatok dan anak-anak buah. Mak mentua mula mengatur resipi makan malam. Ramai tetamu akan hadir.

Aku mulakan dengan ayam masak merah. Ini resipi mudah daripada mak mentua juga. Aku kongsikan resipinya.

1 ekor ayam, dipotong-potong dan dibersihkan.
1 labu bawang besar (kalau saiz sederhana, tambah sebiji lagi)
1 labu bawang besar dimayang kasar
2 ulas bawang putih
Sedikit halia (sekitar 1 inci)
1 cili hijau dibuang tangkainya
1-2 sudu besar serbuk cili (ikut suka)
2 sudu besar sos tomato
sedikit garam
sedikit gula
Sedikit kunyit
minyak untuk menggoreng ayam
sedikit minyak untuk menumis

Cara memasak:
Lumurkan ayam dengan halia,sedikit kunyit,1 ulas bawang putih, dan garam yang ditumbuk halus. Goreng hingga betul-betul masak. Apabila masak, angkat dan ketepikan.
Kisar 1 bawang besar, 1 ulas bawang putih, dan serbuk cili. Ketepikan.
Tumis bawang besar yang dimayang dan cili hijau. Jangan layu sangat.
Masukkan bahan kisar. Masukkan garam, gula dan sos tomato. Adjust rasa kalau ada yang terkurang. Kacau hingga sebati. Biarkan sampai pecah minyak. Masukkan sedikit air sekiranya kuah agak pekat.
Apabila sambal sudah cukup rasa dan pecah minyak, masukkan ayam. Gaul sebati dan tunggu sebentar. Setelah beberapa minit, tutup api.

Lain orang lain seleranya. Cubalah kalau berkenan. Kalau tidak sedap, jangan marah aku pula. Asalnya, cara aku memasak ayam masak merah agak rumit. Ayamnya juga digoreng setengah masak sebelum dimasukkan ke dalam kuah. Bahannya lebih banyak. Ada kayu manis, bunga lawang, serai, kacang pees, cili boh, dan tomato yang didadu. Sejak berkahwin, aku mengubah pula cara memasak ayam masak merah.

Resipi kedua malam tadi adalah udang goreng tepung. Fuh penat juga dibuatnya. Mujurlah salah seorang adik iparku menolongku menggolekkan udang dalam telur dan tepung. Masa berlalu bagaikan tidak terasa. Sambil masak, aku, mak mentua dan 2 orang adik ipar perempuanku sempat juga bergurau. Mak mentua yang sibuk mengagah si kecil Fatimah menjadi subjek. Bukan main lagi mereka bertiga gelak apabila aku mengatakan aku takut tergoreng gigi palsu mak mentua kalau giginya jatuh ke dalam minyak.

Aku tidak menjamah nasi di rumah mak mentua. Mungkin kenyang bau. Tengah malam, terasa lapar pula. Terbayang-bayang udang goreng tepung. Mmm ...

Sebelum balik, mak mentua pesan, kalau boleh esok pagi dia minta tolong masak nasi lemak dengan sambal sotong pula. Kalau tiada aral merintang, aku pasti akan datang.

Resipi baru ...
Hari ini, aku mencuba resipi baru, Roti Berlapi Ayam. Sudah lama aku nak memasak roti berlapis ayam, tetapi asyik tertangguh.



Gambar ini, aku copy daripada MyResipi.com. MyResipi.com sudah seperti kamus masakan. Type lah apapun, hampir semuanya ada. Aku tidak ada alasan untuk mengatakan tidak tahu dan tidak pandai. Hubby pun sekarang sudah pandai request resipi yang pelik-pelik. MyResipi.com pasti boleh memberi resipi yang best-best!. Sudah hampir empat tahun laman web ini menjadi laman web kegemaranku. Sebelum berkahwin, aku sudah ada berfile-file resipi yang diprint daripada MyResipi.com. Hampir kesemua resipi kegemaran suami ada dalam simpananku semenjak kami bercintan-cintun lagi. He ... He ...

Aku jemput juga Kak Ann dan Fatin. Tapi, mungkin tidak ada rezeki mereka berdua. Aku pun agak lambat menghubungi mereka. Tidak mengapalah ...

Minggu depan puasa. Tidak sabar rasanya. Suami sudah berangan-angan mahu bersahur apa dan berbuka apa. Terus-terang aku katakan, walaupun hobiku memasak dan aku pernah bercita-cita mahu menjadi seorang chef, tetapi jika aku tidak sihat atau sibuk, aku agak malas ke dapur. Bukan sebab malas memasak, tetapi malas nak kecahkan dapur. He ... He ...

Episod Akhir-Lan

Assalammualaikum,

Sudah lama aku tidak mengupdate blog ini. Nak kata sibuk tidaklah sangat. Cuma masa di rumah, aku bahagikan untuk perkara lain. Apatah lagi, nenek mentua (mamatok) baru sampai dari Sabah.

Ini pengakhirnya ...
Ada juga yang bertanya, apa penyudah kisah Lan. Sebenarnya aku malas nak bercerita panjang tentang Lan. Aku pendekkan sahaja ceritanya.

Kira-kira pukul 2 petang, aku dan Puan Khadijah Hashim (majikan aku pada masa itu) bergerak ke Institut Terjemahan Negara (ITNM). Semasa memasuki ITNM, aku telah setkan handphone ke mode senyap. Balik daripada mesyuarat itu, aku melihat ada beberapa missed call dan message. Selepas menghubungi office mate, aku mendapat beberapa message daripada Hazidah. Message pertama, dia menyatakan dia sangat berdebar masuk ke mahkamah. Message kedua adalah message yang agak menyentap rasa geramku.

"Kak Nor, saya tarik diri. Kalau tidak, abang ### nak buat report polis yang saya ni pecah amanah."


Apa dikesal berhuma padi,
padi di bendang dibahagi-bahagi,
sudah bersarangkah kejam di hati?
memfitnah menganiaya bagaikan hobi.

Tidak sanggup aku nak 'membahasakan' Hazidah. Suaranya tersekat-sekat. Aku tahu dia menahan sebak. Hanya dia yang menghadapi segala ugutan dan kata-kata nista abang ###. Kalau dilihat dari rupa, abang ### memang nampak baik dan agak tampan orangnya. Tapi itu tidak memberi makna jika hati busuk dan kejam. Mentang-mentang dia berduit, mentang-mentang dia berpengaruh, disepak-sepaknya maruah orang.

Setelah melayan Hazidah bercerita, aku hubungi pula Puan S. Dia memang marah dan kesal. Tapi apa nak buat, nasi sudahpun hangit.

Aku kongsikan beberapa tips daripada menjadi mangsa malaun kejam seperti abang ###.

- Dapatkan surat tawaran.
- Baca surat perjanjian dengan teliti sebelum menandatanganinya. Tanya apa-apa maklumat yang tidak difahami. Dapatkan salinan perjanjian.
- Pastikan gaji masuk pada tarikh yang telah ditetapkan. Sekiranya gaji lambat, dapatkan penjelasan.
-Dapatkan slip gaji.
-Semak KWSP (ada kes majikan tidak membayar KWSP walaupun gaji telah dipotong)
-Pastikan segala faedah yang dijanjikan diterima : pembiayaan rawatan dan perubatan, cuti, elaun, bayaran kerja lebih masa dan sebagainya.)
-Kalau majikan menipu, mengugut, menganiaya, dan sebagainya, hubungi Jabatan Buruh. Mohon nasihat daripada mereka terlebih dahulu. Jangan menipu maklumat. No telefon Jabatan Buruh berbeza mengikut tempat. Hubungi directori dengan menekan nombor 103, dan minta no telefon jabatan buruh yang berdekatan dengan kita.

Sunday, July 12, 2009

sambungan... Aku Tahu Lan Menangis"

Bermulanya sebuah derita ...

Hazidah nekad berhenti kerja. Cukuplah seksa menyekat selera daripada menjamah makanan berlauk selama berbulan-bulan dek gaji tak dibayar. Sudah muak tekak dijamu dengan maggie hari-hari. Aduhai ... seksanya badan, seksa lagi hati. Berhari-hari Hazidah memikirkan ayat terbaik untuk melontarkan alasan pada abang ###. Jangan sampai hati majikan itu terguris. Dilapik-lapik bahasa, ditapis-tapis ayat berulang kali. Hari yang mendebarkan datang jua. Surat berhenti kerja dengan sebulan notis akhirnya bertukar tangan.

"Kenapa nak tunggu sebulan? Kemas barang awak, pulangkan harta pejabat dan awak boleh berhenti hari ini juga! Kalau awak terus bekerja di sini pun, awak tidak dapat memberi tumpuan lagi."

Hazidah terkesima. Semua kata-kata sudah tersekat di kerongkong. Sebaknya hati Tuhan sahaja yang tahu. Hazidah keluar dari bilik abang ### dengan perasaan yang berbaur. Digagahkan jua tangannya mengemas barang. Laptop hak syarikat dipulangkan segera.

Petang itu, pantai Port Dickson menjadi medan menghambur perasaan. Air mata bagai tidak mahu berhenti. Hati Lan juga pilu melihat nasib yang menimpa Hazidah. Sudah tidak terpujuk lagi hati yang lara.

Besoknya Lan menerima nasib yang sama. Alasan abang ###, Lan bersubahat dengan Hazidah. Lan terima sahaja keputusan abang ###. Dia tidak membantah walau dengan sepatah perkataan.

Laporkan sahaja ...

Aku mengaku, aku yang mempengaruhi Hazidah agar membuat laporan di jabatan buruh. Malah, kawan-kawan Hazidah dan rakan-rakan kongsi abang ### pun mendesak Hazidah agar mengheret abang ### ke muka pengadilan. Rakan kongsi abang ### sudah jemu dengan perangai buruk abang ###. Sudah ramai pekerja dibuang 24jam. Syarikat di Seremban pun dijenguk sekali-sekala. Keuntungan syarikat pula tidak dibahagi dengan seadilnya.

Aku menghubungi sahabatku yang memegang jawatan yang agak tinggi di jabatan perlindungan dan hak-hak pekerja. (Tidak perlu dinyatakan di sini, apa nama jabatannya). Dia kukenal semasa berkhidmat sebagai Pembantu Peribadi Datin A pada tahun 2003-2004. Panjang lebar penerangannya.

Aku mula mengira-ngira kesalahan abang ###. Banyaknya .... Abang ### mengambil pekerja asing tanpa permit. Menurut akta 60K, majikan hendaklah memberikan butir-butir pekerja asing kepada Ketua Pengarah Buruh terdekat selepas 14 hari pengambilan pekerja asing tersebut. Sekiranya gagal, maka tindakan boleh diambil mengikut seksyen 99A yang mana, satu penalti am tidak melebihi RM10,000. Mmm ... itu belum dicampur dengan kesalahan menggaji pendatang haram.

Abang ### juga membuat pelbagai kesalahan di bawah Akta Kerja seperti lambat membayar gaji dan memotong gaji pekerja tanpa kelulusan, gagal menyediakan maklumat dan penyata gaji pekerja, gagal menyimpan daftar pekerja, gagal menyediakan insuran pampasan pekerja serta kesalahan lain di bawah Akta Pampasan Pekerja 1952. Kesalahan-kesalahan ini boleh menyebabkan abang ### dikenakan denda sehingga RM10,000.

Sahabatku menawarkan pertolongan kepada Hazidah. Dia akan menyediakan peguam terbaik dari jabatan beliau untuk membela nasib Hazidah. Namun, sesuatu yang tidak dijangka telah terjadi. Tunggu entri yang akan datang. Insya-Allah ... akan kuceritakan pada pembaca semua.