Wednesday, May 19, 2010

Kasihnya Ayah Sepanjang Hayat

Tak semua sayang harus dilafaz,
Tak semua gembira dizahirkan dengan senyum,
Tak semua sedih berteman air mata,
Hatiku menangis tak siapa tahu ...

Lelaki tua yang ku panggil apak...
Aku agak rapat dengan apak. Dari kecil lagi, di mana ada apak, di situ ada aku. Kawan-kawan apak sangat kenal dengan aku kerana aku akan turut duduk semeja dengan mereka di kedai kopi.

"Jangan... masukkan bawang dulu, baru masukkan telur." Sampai sekarang aku ingat ketika apak mula mengajarku menggoreng telur. Masih jelas dalam ingatanku. Rasanya aku belum lagi bersekolah. Aku memang gemar memasak. Pernah sekali, aku membuat kek seorang diri di rumah. Telur, tepung, pewarna, aku campurkan sesuka hati. Mak marah betul, tetapi kek itu dimasaknya juga dan disuruhnya aku makan. Kalau tidak silap, aku makan kek itu sampai habis walaupun tidak sedap.

Parut kenangan

Ketika aku mengurut-urut pergelangan kaki seusai solat, baru aku perasan parut yang ada di kakiku. Nostalgia zaman kanak-kanak terimbau kembali. Aku begitu riang ke sekolah hari itu. Apak menghantarku dengan basikal. Aku cuba meniru lagaknya ketika duduk di belakang. Apak kayuh laju, aku pun kayuh laju walaupun tidak ada pedal basikal extra di tempat duduk belakang. Kalau tidak silap, ketika itu aku menyanyi lagu Pok-pok Bujang Lapok dengan kuatnya. Basikal apak adalah basikal tua berwarna hitam. Hampir sampai ke sekolah, kakiku terperosok ke dalam rim basikal. Aku menjerit sekuat hati. Apak cemas lalu mencabut kakiku perlahan-lahan. Darah mengalir dari pergelangan kakiku. Sakitnya Tuhan sahaja yang tahu. Apak membawaku balik ke rumah. Mak membersihkan dan membalut lukaku. Ingatkan boleh la aku ponteng sekolah hari itu, tetapi apak tetap juga menghantarku ke sekolah.

Kali ini, aku duduk diam sahaja di belakang. Aku menahan kesakitan. Walaupun kakiku sudah dibalut, tetapi darah masih menembusi stokingku. Aku lihat apak bercakap dengan cikgu tadikaku. Cikgu memandang simpati kepadaku. Sebenarnya aku agak liat ke sekolah. Setiap hari mak atau apak mesti menemaniku ke sekolah. Aku mula berani ke sekolah hanya ketikaku hampir habis belajar di tadika. Itupun mak atau apak sentiasa menjengukku. Dulu aku benci melihat parut di kakiku, tetapi sekarang itulah kenangan bersama apak yang akan abadi di badanku.

Aku belajar menanam buah-buahan
Hari itu aku menyaksikan proses membuat tut pada pokok. Aku begitu teruja melihat proses itu. Aku pandang dua batang pokok betik di luar rumah. Itu pokok kesayangan mak. Aku terus mengambil parang dan cuba membuat tut pada pokok betik mak. Dari dalam rumah, mak pelik melihat pokok betiknya bergoyang-goyang. Angin tiada, monyet tiada, tetapi goyangan pokok betik itu sangat mencurigakan. Mak terus pergi ke tingkap betul-betul menghadap pokok betik. Ketika itu, aku sedang menetak-netak batang pokok betik itu yang kononnya untuk dibuat tut. Mak menjerit kuat. Aku dimarahi dengan teruk. Mujurlah pokok betik itu tidak tumbang.

Tidak berjaya dengan proses tut, aku beralih minat pada buah-buahan import pula. Aku mengisi tin milo dengan tanah. Biji-biji epal dikambus kemas. Aku bawa 'pasu'milo itu ke kedai kopi apak. Aku masih leka menunjukkan proses menanam epal kepada kawan-kawan dan adikku. Kononnya, akulah yang paling pandai menanam buah. Apak dengan prihatin menghampiri kami. "Buat apa, tu?" Apak bertanya lembut sambil membongkokkan sedikit badannya. Aku berbangga memberitahu apak yang aku sedang menanam buah epal. Apak tersenyum. "Buah epal hanya boleh hidup di kawasan sejuk. Kat sini tak boleh." Lembut nasihat apak. Tempat sejuk? Emmm....

Esoknya, seperti biasa apak akan sibuk pada pagi hari. Ramai yang datang bersarapan di kedai kopi apak. Ketika membuka peti sejuk, apak terkejut melihat 'pasu' daripada tin miloku yang penuh dengan tanah ada di dalam peti sejuknya. Apak terus memandangku. Aku dengan tidak bersalah masih diam membisu. Aku sebenarnya masih tertanya-tanya apa salah aku. Semalam, dia juga yang memberitahuku pokok buah epal hanya boleh hidup di kawasan sejuk. Peti sejuk kan sejuk. Salah kah? Bila diingat-ingat kembali,lucu pula rasanya.

Warna air
Sebelum pergi ke sekolah, aku meminta duit daripada apak untuk membeli pewarna atau cat air untuk kelas Pendidkan Seni. Aku berada di tingkatan empat masa itu. Apak kata, nanti dulu. Kemudian-kemudian pun boleh beli. Kali ini, tak perlulah beli dulu. Aku pergi ke sekolah tanpa warna air. Memang aku hampa, tapi tidak mengapalah. Boleh pinjam pewarna kawan dulu.

Pintu kelas diketuk oleh seorang pengawas. Dia juga sekampung denganku. Memang aku kenal dengan dia. Namaku dipanggil. Aku keluar dengan tanda tanya yang berlegar di kepala. Aku ada buat salah kah? Dia menghulurkan warna air kepadaku. Dia kata, apak datang naik motor menghantar warna air untukku. Sebenarnya aku rasa tidak percaya. Sampai sekarang aku masih rasa terharu. Terbayang-bayang apak menaiki motor membeli warna air dan menghantarnya ke sekolahku. Hari itu juga, cuaca sangat panas. Kesian apak,mujurlah dia terserempak dengan Adha, pengawas yang sekampung denganku. Rumah kami pun dekat sahaja.Itulah kasih seorang ayah ...

Mak dan apak tidak adil
Aku selalu cemburu dengan abang. Aku merasakan abang selalu dapat lebih. Mak risau kalau abang merajuk kerana setiap kali abang merajuk, dia mesti mahu pulang ke kampung nenek di Semarang. Oh, lupa pula,abangku tinggal bersama nenek sehingga berusia 12 tahun. Dia akan datang ke Saratok ketika musim cuti sekolah. Dialah cucu dan anak buah kesayangan mak cik dan pak cikku. Rasanya semua orang manjakan abangku. Ada juga berlaku perebutan kerana mak dan apak sudah lama berhajat mahu mengambil abang tinggal bersama-sama kami, tetapi kerana kasihankan nenek lebih-lebih lagi apabila atukku meninggal dunia, mak banyak kali mengalah.

Semasa abang memasuki tingkatan 1, abang dihantar ke Sekolah Menengah Pusa, iaitu sekitar 45 minit dari rumah kami. Apak menjenguk abang. Keadaan sekolah itu tidak memuaskan hati. Abang pula ada penyakit lelah. Itu dijadikan alasan untuk mak dan apak mengambil abang untuk bersekolah di Saratok dan tinggal terus dengan kami. Kedudukan aku terasa sedikit tergugat. Memang aku suka abang tinggal bersama kami, tetapi kami selalu merasakan abang selalu dilebih-lebihkan. Kalau makan, dia suka makan seorang diri, sedangkan kami yang lain akan berkongsi. Kalau mak dan apak tidak dapat memenuhi keinginannya, nenek, mak cik-mak cik dan pak cik-pak cikku pasti cuba memenuhi permintaan abang. Aku selalu melahirkan rasa tidak puas hati pada mak. Aku menuduh mak dan apak pilih kasih. (Aku hanya berani meluahkan perasaan tidak puas hati kepada mak. Kalau dengan apak, aku diam sahaja. Mak kata, mereka tidak pilih kasih. Hatiku begitu keras mengiyakan kata-kata mak kerana aku masih merasakan mereka memang pilih kasih. Apak tahu tentang ketidakpuasan hatiku, tetapi tidak pula memarahiku. Pada suatu hari, apak berkata kepadaku, lihat bagaimana mak dan apak menjaga adik-adikku yang masih kecil. Apak kata, begitulah mereka menjagaku dahulu. Penuh lembut dan kasih sayang. Hatiku tersentuh. Aku terfikir sejenak. Ya, benar kata apak. Merekalah yang menyuapku makan, memandikan aku, merapikan rambutku, dan mendidikku dengan penuh kasih sayang. Mereka tidak perlukan lafaz sayang secara terangan kepada kami. Cukup sekadar digambarkan melalui perbuatan. Aku insaf ....

Tanggungjawab apak terhadapku sudah bertukar tangan
Apak antara orang yang bertungkus-lumus ketika hari bersejarahku. Aku lihat sendiri kegigihan apak memikul kayu untuk membuat tempat memasak. Tubuh tua itu kulihat tidak segagah dulu. Rambutnya sudah bertukar warna. Apakku sudah tua. Aku anak pertama yang akan melangsungkan perkahwinan. Ketika aku dinikahkan, aku lihat apak begitu cemas. Suaranya tersekat-sekat. Apaklah orang kuat membelaku ketikaku memilih untuk tidak bersanding. Dia tidak pernah memaksa. Terpulanglah kepada diriku sendiri. Selesai sahaja majlis perkahwinan kami, apak kelihatan sangat letih. Dia tertidur di kerusi. Hatiku diruntun pilu. Kasihannya apak. Mesti dia kepenatan. Aku perhatikan susuk tubuh yang sangat aku sayangi itu. Aku hanya berbisik dalam hati betapa aku sayangkan apak dan sangat berterima kasih kepada apak. Aku tidak mampu meluahkannya dengan kata-kata. Aku yakin, sebelum setiap butir rasa itu aku luahkan kepada apak, pasti air mataku gugur dahulu.

Cucu untuk apak
Pada hari raya tahun lepas, apak pernah berlucu denganku dengan mengatakan aku harus menggosok-gosok tubuh kecil Fathiyah (anak abang) di perutku agar aku cepat mengandung. Aku cakap, sekarang Allah belum kurniakan kami rezeki untuk menimang cahaya mata. Apak senyum sahaja. Sebenarnya, ketika itu aku sedang mengandung tetapi aku tidak tahu bahawa aku sedang mengandung. Aku fikir, kelambatan 'bendera merah'berkibar adalah disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk traveling. Aku mengetahui bahawa aku mengandung setelah aku sampai ke Kuala Lumpur. Aku begitu teruja mengkhabarkan berita itu kepada keluargaku di kampung. Apak terlalu gembira hingga dia menitiskan air mata. Dia sudah tidak dapat bercakap denganku di telefon kerana terharu mendengarku mengandung. Kebetulan apak demam pada masa itu. Katanya, demamnya tidak teruk. Selang beberapa minggu, apak ditahan di hospital. Hampir sebulan apak di hospital. Aku dinasihatkan agar tidak menaiki kapal terbang kerana usia kandungan yang belum pun mencecah 3 bulan sangat berbahaya dan boleh menyebabkan perkara buruk berlaku. Setiap hari aku akan bercakap dengan apak melalui telefon. Doa-doa tidak putus dari bibir dan hatiku agar apak cepat sembuh. Sudah tidak terkira berapa banyak air mataku mengalir. Sebak memikirkan diriku tidak dapat berada di samping apak. Alhamdulillah ... akhirnya apak keluar juga dari hospital.

Sakit dada apak, sakit juga dadaku
Aku fikirkan keadaan apak sudah sembuh sepenuhnya. Kalau pening pun pening-pening biasa. Hari ini, adikku menghantar message memberitahu apak ditahan di hospital lagi. Apak sakit dada. Sekali lagi aku tersepit. Tidak putus-putus doa dan rayuanku agar Allah memberi ihsan dan kasih sayangnya kepada apak agar apak cepat sembuh. Bagaimana aku mahu pulang ke kampung pada saat-saat aku menunggu kelahiran cahaya mata pertamaku. Tidak ada penerbangan mahu menerima penumpang yang sedang hamil 9 bulan dan hanya menunggu saat kelahiran. Aku sedih sangat. Aku masih belum berkesempatan bercakap dengan apak hari ini. Petang tadi dia masih diperiksa, belumpun malam menjadi pekat, apak sudah dibuai lena. Tidak sampai hati pula mahu menyuruh adikku mengejutkannya daripada tidur. Ya Allah ... aku merayu kepada-Mu ya Allah, sembuhkanlah apak. Panjangkanlah usianya. Berikanlah dia kesempatan lagi. Aku benar-benar merayu, Ya Allah. Berikanlah keajaiban agar apak sembuh.... Amiin...

No comments:

Post a Comment