Sunday, July 12, 2009

sambungan... Aku Tahu Lan Menangis"

Bermulanya sebuah derita ...

Hazidah nekad berhenti kerja. Cukuplah seksa menyekat selera daripada menjamah makanan berlauk selama berbulan-bulan dek gaji tak dibayar. Sudah muak tekak dijamu dengan maggie hari-hari. Aduhai ... seksanya badan, seksa lagi hati. Berhari-hari Hazidah memikirkan ayat terbaik untuk melontarkan alasan pada abang ###. Jangan sampai hati majikan itu terguris. Dilapik-lapik bahasa, ditapis-tapis ayat berulang kali. Hari yang mendebarkan datang jua. Surat berhenti kerja dengan sebulan notis akhirnya bertukar tangan.

"Kenapa nak tunggu sebulan? Kemas barang awak, pulangkan harta pejabat dan awak boleh berhenti hari ini juga! Kalau awak terus bekerja di sini pun, awak tidak dapat memberi tumpuan lagi."

Hazidah terkesima. Semua kata-kata sudah tersekat di kerongkong. Sebaknya hati Tuhan sahaja yang tahu. Hazidah keluar dari bilik abang ### dengan perasaan yang berbaur. Digagahkan jua tangannya mengemas barang. Laptop hak syarikat dipulangkan segera.

Petang itu, pantai Port Dickson menjadi medan menghambur perasaan. Air mata bagai tidak mahu berhenti. Hati Lan juga pilu melihat nasib yang menimpa Hazidah. Sudah tidak terpujuk lagi hati yang lara.

Besoknya Lan menerima nasib yang sama. Alasan abang ###, Lan bersubahat dengan Hazidah. Lan terima sahaja keputusan abang ###. Dia tidak membantah walau dengan sepatah perkataan.

Laporkan sahaja ...

Aku mengaku, aku yang mempengaruhi Hazidah agar membuat laporan di jabatan buruh. Malah, kawan-kawan Hazidah dan rakan-rakan kongsi abang ### pun mendesak Hazidah agar mengheret abang ### ke muka pengadilan. Rakan kongsi abang ### sudah jemu dengan perangai buruk abang ###. Sudah ramai pekerja dibuang 24jam. Syarikat di Seremban pun dijenguk sekali-sekala. Keuntungan syarikat pula tidak dibahagi dengan seadilnya.

Aku menghubungi sahabatku yang memegang jawatan yang agak tinggi di jabatan perlindungan dan hak-hak pekerja. (Tidak perlu dinyatakan di sini, apa nama jabatannya). Dia kukenal semasa berkhidmat sebagai Pembantu Peribadi Datin A pada tahun 2003-2004. Panjang lebar penerangannya.

Aku mula mengira-ngira kesalahan abang ###. Banyaknya .... Abang ### mengambil pekerja asing tanpa permit. Menurut akta 60K, majikan hendaklah memberikan butir-butir pekerja asing kepada Ketua Pengarah Buruh terdekat selepas 14 hari pengambilan pekerja asing tersebut. Sekiranya gagal, maka tindakan boleh diambil mengikut seksyen 99A yang mana, satu penalti am tidak melebihi RM10,000. Mmm ... itu belum dicampur dengan kesalahan menggaji pendatang haram.

Abang ### juga membuat pelbagai kesalahan di bawah Akta Kerja seperti lambat membayar gaji dan memotong gaji pekerja tanpa kelulusan, gagal menyediakan maklumat dan penyata gaji pekerja, gagal menyimpan daftar pekerja, gagal menyediakan insuran pampasan pekerja serta kesalahan lain di bawah Akta Pampasan Pekerja 1952. Kesalahan-kesalahan ini boleh menyebabkan abang ### dikenakan denda sehingga RM10,000.

Sahabatku menawarkan pertolongan kepada Hazidah. Dia akan menyediakan peguam terbaik dari jabatan beliau untuk membela nasib Hazidah. Namun, sesuatu yang tidak dijangka telah terjadi. Tunggu entri yang akan datang. Insya-Allah ... akan kuceritakan pada pembaca semua.

Thursday, July 9, 2009

Aku Tahu Lan Menangis

"RM20 pun jadilah," kata adikku yang belajar di UiTM seolah-olah merayu.

Memang dia merayu! Yang buat aku membebel panjang adalah apabila dia selalu sangat minta duit. Bukan itu kebiasaanya. Aku dapat merasakan ada sesuatu yang berlaku. Aku masih belum berpuas hati dengan jawapannya yang selalu mengatakan duit itu untuk keperluan membuat assignment. Aku dulu pun belajar juga. Bila disuruh balik ke rumah aku, dia menolak. Katanya kasihan pula pada Lan.(Adik lelaki di bawahku). Mmm ... soal itu aku abaikan dahulu.

"Kak, Hazidah dibuang kerja 24jam." Pesanan ringkas itu aku terima lewat petang.

Agak terkejut juga kerana sepanjang pengetahuanku, Hazidah merupakan orang kuat MD Sdn. Bhd. Dia sudah berpengalaman beberapa tahun di situ sebelum Lan masuk bekerja di syarikat itu. Dialah yang membeli kelengkapan pejabat, menyapu, mengemop, mencari klien, menyiapkan proposal dan banyak lagi. Pendek kata, dia buat segala-galanya sedangkan bossnya menguruskan pejabat di cawangan utara. Hazidah ... Hazidah ... kadang-kadang aku fikir Hazidah dengan Lan sama sahaja perangainya. Terlalu baik!

Malam itu, aku dan suami berehat-rehat di ruang tamu sebelum nada talifon menjerit-jerit minta di angkat. Adi lagi ....

"Kak, Lan pula dibuang kerja 24 jam. Abang ### dah belikan tiket dia untuk balik kampung awal pagi besok."

Kali ini aku benar-benar tersentap. Gila kah abang ### hingga kejam sangat memperlakukan sepupu isterinya sampai begini sekali? Darahku benar-benar mendidih. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja aku bersemuka terus dengan abang ###. Nak kutanya satu persatu, nak aku marah sepuas hatiku, nakku tampar juga barangkali! Sabar ... sabar ....

Aku tahu bagaimana jujurnya Lan bekerja. Aku tahu pengorbanan Lan tu bagaimana. Dia adikku yang paling rapat denganku sejak kami kecil lagi. Sangat baik orangnya. Jarang marah-marah. Kalau disuruh, jarang sekali dia menolak. Laju sahaja pertolongannya datang.

Kenangan raya tahun itu bagaikan skrin besar di kepalaku. Abang ### benar-benar memujuk Lan agar menolongnya mengurus syarikat di Seremban. Macam-macam janjinya. Gaji RM1000, ada bayaran kerja lebih masa, dapat talifon bimbit, boleh pakai kereta dia ke tempat kerja, minyak dan tol ditanggung dan sebagainya. Ku kira, itu sudah cukup bagus. Walaupun jauh di sudut hati aku dapat merasakan sesuatu yang aku sendiri tidak pasti, namun aku sokong juga hasrat Lan.

Bulan depannya, aku sponsor tiket penerbangan Lan ke sini. Duit belanja pun aku sertakan juga. Tidak lah banyak, tapi cukuplah. Lagipun Lan kata nanti abang ### akan bagi gaji sekian-sekian haribulan. Benar Lan diberi pakai kereta dan talifon bimbit tapi minyak dan tol ditanggung sendiri. Claim lambat lagi nak dapat. Gaji pun agak lambat pada masa itu. Entah mengapa, aku dapat merasakan sesuatu yang berlaku pada Lan. Kurisik-risik keadaan kewangannya. Sah, memang dia tidak dibayar gaji mengikut tarikh yang dijanjikan. Duit belanja yang kuberikan dulu hanya berbaki RM3.00. Aku tanya bagaimana dia makan. Katanya dia makan nasi dan kuah sahaja. Luluh benar hatiku. Aku tanya nombor akaunnya kerana aku tidak menyimpannya. Dia berkeras tidak mahu aku menghulurkan wang lagi padanya. Mungkin dia segan.

Setiap hari aku bertanyakan makan minumnya. Kata Lan, ada seorang abang sama tempat kerja dengannya selalu belanja Lan makan. Syukurlah walaupun hatiku tetap bimbang. Setiap kali aku makan, aku akan teringat tentang Lan. Dah makan kah dia, apa dia makan hari ini? Hendak aku pergi ke rumahnya, emm ... sampai ke sudah dia tidak mahu memberi alamat. Katanya semuanya okay. Akhirnya Lan dan staf yang lain dapat juga gaji walaupun jauh sangat terlajak. Mujurlah Lan masuk pertengahan bulan.

Aku tidak pernah bertanya berapa yang dia dapat kerana aku percaya abang ### takkan menipu sepupu isterinya sendiri. Dalam hal ini, Lan masih lagi positif. Aku pula yang melebih-lebih. Aku paksa dia mohon surat tawaran, tapi kata Lan, 'tak apa.' Kadang-kadang geram juga aku dengan sikap 'tak apa' Lan itu.

Setelah mendapat berita Lan dibuang kerja, suamiku terus menghubungi Lan. Masa itulah Lan bercerita sedikit sebanyak kenapa dia dibuang kerja dan bagaimana kejamnya abang ###. Itupun tidak semua yang diceritakan. Sikit-sikit sahaja. Bila didesak-desak untuk bercerita lagi, dia kata tidak ada apa-apa. Ish ... geramnya akuuuuuuu.

Agak lambat juga kami sampai di rumah sewa Lan. Masa itu, dia tengah mengemas barang untuk dibawa balik keesokkan harinya. Kulihat muka Lan biasa-biasa sahaja. Tapi aku tahu, Lan mesti menangis. Walau tidak teresak-esak, setitis dua air mata pasti gugur jua. Redup dan sayu matanya seolah menceritakan keperitan dan kesedihan yang dilaluinya.

Hatiku sebak melihat keadaan rumahnya. Tidak ada tv, peti sejuk, radio dan almari. Betul-betul kosong. Langsir pun hidup segan mati tak mahu. Lan menyuruh aku mengambil serai dan cili yang ditanamnya di halaman rumah sewa. Di situ ada juga keledek.

"Hari tu, aku tak ada duit, aku ajak Adi korek keledek ni. Aku rebus lepas tu makan." Sedihnya ... Aku cuba menahan perasaan. Masa itu bertambah-tambah marah aku pada abang ###.

Menurut Lan, abang ### menyuruh kawannya menghantar Lan ke LCCT untuk memastikan Lan benar-benar balik ke kampung.

Aku dan suamiku sampai di Shah Alam sekitar 2 pagi. Malam itu, tidurku bersulam pelbagai perasaan.

Aku cuba mengorek rahsia daripada Adi apa yang sebenarnya berlaku pada Lan. Akhirnya Adi bocorkan segalanya. Rupa-rupanya, dia asyik minta duit daripadaku kerana mahu memberikannya pada Lan. Lan tidak mendapat gaji hampir 3 bulan.(Pada masa inilah Lan mengorek keledek di halaman rumah.) Claim semua tidak dapat. Awal-awal sahaja baik, lama-lama macam *#@$%^. Adi tahu pun bukan sebab semuanya Lan cerita. Kebanyakkannya daripada apa yang Adi lihat dan siasat sendiri.

Lan kata, sebelum masuk ke balai berlepas, abang ### ada memberikan satu sampul surat bersaiz A4 untuk diserahkan pada pak udaku.(bapa mertua abang ###). Sampai Kuching, sepupuku mengambil Lan di lapangan terbang. Pada Shahril, Lan ceritakan sedikit sebanyak mengapa dia dibuang kerja. Itupun sedikit sahaja. Sharil faham dan Shahril pun kenal abang ipar dia itu bagaimana orangnya.

Sampul surat kiriman abang ### diserahkan pada pak uda. Malam itu mereka berdiskusi panjang. "Uda serba salah. Ini anak, itu pun anak." Lan diam sahaja. Pak uda cuba bersikap adil. Pak uda menceritakan isi kandungan surat yang abang ### kirimkan. Abang ### menuduh Lan pecah amanah dan macam-macam lagi. Ada juga baki gaji Lan di dalamnya. Penuh pula kali ini. Rupa-rupanya gaji yang abang ### bagi jauhhhhhhhhh sedikit daripada sepatutnya. Yang mencukupkan gaji tersebut ialah pak uda.

Lan bercerita panjang tentang apa yang dibualkannya dengan pak uda. Itupun aku yang menghubunginya dan memaksa dia untuk bercerita.

"Kau cakap tak apa yang abang ### dah buat pada engkau. Kau cakap tak pasal gaji?" Macam wartawan pula lagakku.

"Tak." Lemah sahaja suara Lan. Aku mula membebel itu ini. Lan kata, dia serba salah apabila melihatkan pak uda serba salah menghakimi perihal mereka berdua. Yang aku pasti adalah itulah Lan yang aku kenal. Susah benar nak menyalahkan orang dan baik sangat.

Kes Lan dan Hazidah dipanjangkan di mahkamah. Ini akan kuceritakan dalam entri yang akan datang. Kenapa Lan dan Hazidah dibuang kerja, dan apa yang berlaku di mahkamah akan aku ceritakan seperinci yang mungkin.

Abang ###, doa orang teraniaya itu makbul. Mungkin di dunia kau terlepas, tapi di akhirat kau akan terima balasannya.

Monday, July 6, 2009

Misteri Lelaki Berseluar Pendek dan Pukau

Salam,

Hari ini aku bersiap-siap awal. Kononnya mahu masuk kerja pukul 8.00 supaya aku boleh balik awal. Tapi kita hanya merancang, Allah jua yang menentukan. Kaki suamiku sakit kerana terjatuh semasa bermain futsal malam tadi. Jadi, aku mahu menemaninya lebih lama pagi ini untuk memastikan dia makan madu dan vitamin.(Dia selalu ponteng mengambil madu dan vitamin). Sempat lah juga aku memerap ayam untuk dibuat nasi ayam petang ini.

Pukau? Seingat aku, aku tidak pernah dipukau, tapi mungkin pernah hampir terpukau. Minggu itu study week. Masing-masing sibuk menelaah pelajaran. Pukul 3-4 pagi masih lagi bising dan meriah. Tapi malam itu berlainan sekali. Aku sendiri sudah beberapa kali menguap seawal jam 10 malam. Aku tewas juga dek rasa mengantuk yang amat. Yang aku perasan, sebelum melelapkan mata, suasana di kolejku sunyi sepi. Aku terjaga sekitar 2 lebih. Sunyinya.... Rasa hairan itu padam dengan sendirinya. Aku melilau-lilau memerhati sekeliling. Seolah-olah aku sahaja yang terjaga.

Semasa aku memasuki tandas, aku boleh terfikir untuk membiarkan sahaja pintu tandas tidak berkunci. Mujurlah aku masih lagi waras lalu mengunci pintu tersebut dengan kemas. Mata aku masih melilau-lilau sepanjang perjalanan menuju ke bilikku. Mataku tertangkap pada sepasang kaki berseluar pendek dan berselipar oren.

Aku tidak tahu dari mana datangnya keberanian itu lalu menghasutku agar memerhatikan sepasang kaki itu terus. Aku lihat 'orang' itu seolah-olah menyembunyikan diri di sebalik ampaian di beranda. Aku pula leka memerhatikannya. Apabila melihat 'orang' misteri itu menyelak kain seperti mengintai, aku pula bagaikan baru tersedar. Jelas di mataku tubuh lelaki itu tidak berbaju! Pantas kakiku mengatur langkah menuju ke bilik. Pintu kukunci erat. Sempat pula aku mengintai dari lubang pintu. Mataku tertancap pula pada jam kecil di meja belajarku. 2.47 pagi. Jantungku semakin keras berdegup. Mataku tidak berjaya dilelapkan waima sepicing pun.

Biasanya aku akan menunaikan solat subuh semasa langit masih hitam,tapi pagi itu aku menunggu hingga bunyi derap kaki penghuni kolej yang lain lalu di depan bilikku. Aku menunggu suara-suara kukenal membuat kecoh pagi itu. (Aku tinggal di bilik keseorangan kerana pada masa itu aku setiausaha kolej.) Seusai solat, aku berkira-kira mahu menceritakan pada seseorang. Aku bingkas bangun menuju ke bilik Ketua Biro Keselamatan,yakni kawanku sendiri,Mira dan Garpit. Aku menceritakan segalanya dari A-Z kepada mereka berdua. Kata Garpit, mungkin ada yang bergayut di talifon. Tapi takkan tak berbaju! Kami semua perempuan. Gilakah pelajar itu bergayut tanpa memakai baju, atau mata aku yang tidak betul pagi itu.

Sebelum pergi ke kelas tengahari itu, aku singgah di bilik umi, penghuni bilik tempat lelaki misteri itu menyorok pagi itu.Katanya, tiada siapa antara mereka sebilik (3-4 orang) bergayut. Mereka semua tidur awal. Perbualan kami ditangkap jelas oleh rakan sekelasku. Dia tanya soalan bertalu-talu padaku. Pukul 2 pagi kah?, Adakah dia lelaki kurus tidak berbaju dan berselipar oren?. Aku mengangguk-angguk.

Petang itu, nama aku naik di papan notis kolej. Nama aku juga dilaung-laungkan di speaker. Aku dan beberapa orang lagi dikehendaki hadir ke pejabat. Perasaan gugup mula menguasai. Sebaik tiba di pejabat kolej, terdapat beberapa orang pelajar perempuan turut berada di situ. Rupa-rupanya kami merupakan saksi kejadian. Salah seorang daripada kami ialah mangsa lelaki misteri berseluar pendek!

Setelah mengisi beberapa borang, kami dikehendaki memasuki sebuah bilik. Di situ ada beberapa orang pegawai keselamatan. Satu persatu cerita sebenar dijelaskan. Cerita daripada mangsa yang kelihatan tenang dituturkan agak berhati-hati. Mungkin dia masih trauma. Malam itu, boleh dikatakan semua pelajar kolej tidur awal. Mangsa adalah penghuni kolej Kenanga 1, dan aku Kolej Kenanga 2. Jaraknya sangat dekat. Cuma selang 2-3 minit dari masa aku terserempak dengan lelaki misteri itu, rupa-rupanya dia menyerang mangsa di Kolej Kenanga 1. Pintu mangsa tidak berkunci. Dia pun tidak pasti kenapa malam itu dia tidur awal dan boleh membiarkan pintu tidak berkunci. Lelaki misteri datang lalu menekan rusuknya. Itu yang membuatnya terjaga. Mangsa terdiam seketika dan merenung wajah lelaki misteri sebelum menjerit ketakutan. Lelaki misteri keluar daripada bilik itu dan mangsa terus mengunci pintu dengan kelam kabut. Jeritan mangsa telah mengejutkan penghuni yang lain, cuma mereka agak lambat 'tersedar'. Lelaki misteri memulas-mulas tombol pintu satu persatu. Penghuni wanita cuma diam kaku dalam ketakutan yang amat. Dan akhirnya lelaki misteri melarikan diri. Setelah ramai 'tersedar', barulah satu-persatu pintu dibuka. Bermulalah kekecohan hingga ke pagi. Ada yang menyambung tidur, tapi ramai yang tidak mampu lagi menjemput lena.

"Orangnya sangat handsome. Silap-silap, kamu bersanding dengan dia nanti,"kata pegawai keselamatan itu. Menurut pegawai itu lagi, lelaki misteri itu seorang pelajar Navy. Tegap dan sangat kacak. Dia mengamalkan ilmu yang sesat. Apa yang dia lakukan malam tadi adalah untuk memantapkan ilmunya. Dia ditangkap malam itu juga setelah pihak pegawai keselamatan menjejakinya sejak beberapa hari.(sebelum ini lelaki misteri menyerang kolej lain). Apa sebenarnya yang ingin dilakukan tidak pula diberitahu. Yang jelasnya, malam tadi mungkin aku seorang yang tidak lut dengan pukau lelaki misteri itu kerana menurut cerita saksi-saksi yang lain, mereka seolah-olah tidak sedar dengan apa yang berlaku. Aku pula sempat memerhatikan kaki, seluar, selipar, dan jam. Entah ... aku pun tak pasti sama ada aku dipukau, tidak sempat dipukau, atau memang pukau itu tidak lut padaku.

Mari kita lihat apa adab-adab sebelum tidur.

1. Membersihkan mulut dengan bersugi (gosok gigi)

2. Bersuci dengan mengambil wudhuk.

Perihal di atas adalah sebagai langkah persediaan agar ia menuju kepada ibadah.

Yang pertama, tidur kita dalam keadaan ingat kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Apabila kita ingat Allah, maka kita tahu Allah sukakan kebersihan dan membersihkan diri menghampirkan lagi diri kita kepada Allah.

Yang kedua, tidur menjadi asbab menjauhi kita dari perkara mungkar. Maka tidur itu lebih baik daripada melakukan maksiat.

Yang ketiga tidur sebagai ruang rehat dan menjana tenaga untuk terus menjalankan ibadah seterusnya dan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi. Seperti persediaan untuk bangun di tengah malam untuk melakukan ibadah sunnah yang lain.

Yang keempat, tidur juga sebagai ibadah bila masa kita tidur dalam mengingati yang Maha Esa dan meraih ketenangan sepanjang tidur.

Berwuduk sebelum tidur juga sebagai persediaan seandainya nyawa kita tiba di penghujung semasa lena. Dan seandainya kita meninggal dunia semasa tidur, maka ia ibarat mati dalam keadaan suci bersih. Siapakah yang pasti dan boleh memberi jaminan bahawa selepas tidur dia akan bernafas semula keesokannya...? Tiada sesiapa pun....

Maka renungkanlah dan hayati serta hidupkanlah adab-adab sunnah yang baginda tinggalkan untuk kita.

Sunday, July 5, 2009

"Kaki ibuk melekat-lekat di lantai."- Ibuk Fatimah-


Di belakang rumahku ada Fatimah. Dia kupanggil Nek Anjang. Di kanan rumahku juga ada Fatimah, dan kami sekeluarga memanggilnya, Mak Sudin. Di depan rumah Mak Sudin pun ada Fatimah. Aku memanggilnya 'Ibuk' atau 'Ibuk Timah' (Mak cik Timah). Mereka semua mualaf. Nek Anjang dan Ibuk Timah adalah Kristian masuk Islam, manakala Mak Sudin, cina masuk Islam.


Aku agak rapat dengan Ibuk Timah. Dia adalah temanku ke surau yang terletak tidak jauh dari rumah kami. Ketika hujan, dialah temanku yang berkongsi payung hingga ke rumah. Dia suka bunga. Aku juga terpengaruh dengan minatnya itu. Sejak itu, rumah kami juga banyak bunga. Semasa aku duduk bersembang dengan Ibuk Timah, dia menasihatiku agar pandai-pandai jaga diri. Katanya aku ibarat bunga yang sedang berkembang, ramai orang teringin nak memetiknya. Kalau tidak dipetik pun, pasti dijeling-jeling jua. Begitulah minatnya pada bunga, hingga akupun diumpamakan seperti bunga. Masa itu, mata kami terarah pada rimbungan pohon bunga raya yang mekar berkembang. Di sekeliling rumah Ibuk Timah, penuh dengan bunga-bunga yang mekar dengan subur. Pohon serai, lengkuas, kunyit, dan sebagainya juga tumbuh sangat subur.


Semenjak belajar di Shah Alam, aku jarang berjumpa dengan Ibuk Timah. Suatu hari, emak menghubungiku dan menyatakan Ibuk Timah sakit kerana buatan orang. Semasa cuti semester, aku singgah di rumah Ibuk Timah. Badannya kurus melidi, sedangkan sebelum ini badannya segar bugar dan berisi. Bunga-bunga di sekeliling rumahnya juga kelayuan dan mati. Aku pegang tangannya. Sejuk. Aku nasihati Ibuk Timah agar makan walaupun tiada selera. Aku bimbang keadaannya bertambah teruk. Melihatkan perubahan tubuhnya sahaja membuatkan hatiku sayu. Dia kata, dia tidak boleh makan, dadanya bagai ditumbuk-tumbuk. Perbualannya biasa sahaja, cuma nadanya sahaja yang lemah. Kemudian, lalu sekumpulan pemuda kampung sambil tersengih-sengih. Ibuk Timah sempat berbisik mengatakan salah seorang daripada pemuda itu meminatiku. Lantas dia mengambil album gambar. Di situ terdapat gambar pemuda tersebut semasa kecil. Aku menyoroti langkahnya. Aku lihat tikar turut terangkat setiap kali kalinya melangkah. Tikar itu ibarat melekat-lekat di telapak kakinya. Ya Allah ... hatiku bertambah sayu. Sejuk sangatkah kaki Ibuk Timah hingga membuatkan tikar tersebut melekat di telapak kakinya?


Menurut Ibuk Timah, dia tidak boleh mendengar bunyi bising. Bunyi itu akan berganda-ganda di pendengarannya dan seolah-olah menghantuinya. Dia turut meminta maaf kerana telah menyusahkan kami jiran-jirannya. Semenjak Ibuk Timah sakit, motor akan dimatikan di persimpangan sebelum memasuki lorong rumah Ibuk Timah. Kami akan berjalan kaki dan menolak motor sampai ke rumah. Abangku pernah mengeluh dengan keadaan ini, namun akhirnya akur setelah dijelaskan oleh emak.


Hari itu kawasan rumah kami banjir. Sedang aku mencuci pinggan, pintu rumah diketuk orang dalam hujan yang masih belum berhenti. Emak yang membukanya. Ohh... Apak Jijan (Suami Ibuk Timah). Dia tumpang lalu kerana mahu ke rumah sebelah. Katanya dia mahu berubat. Setelah 'berubat', Apak Jijan lalu lagi di rumah kami. Emak terus bertanya apa kata Tok Dukun. Aku curi dengar perbualan mereka. Yang sempat aku tanggap adalah, "Jelas muka orang tu. Sebijik macam dalam ic. Rambut kerinting." Mak tanya siapa orangnya. Apak Jijan keberatan untuk memberitahu cuma dia menyatakan lelaki itu orang 'sini-sini' juga. "Aku tak kisah Kiah, kalau dia nak Timah tu, aku bagi. Tapi jangan buat dia begini. Seksa dia." Aku terkesima. Dan mungkin kebetulan, selang beberapa minggu Tok Dukun tersebut pula meninggal. Cerita tentang lelaki berambut kerinting tamat di situ sahaja.


Berhari-hari juga aku terlantar demam. Petang itu, ayah kata orang dari Kabong akan menurun di rumah Ibuk Timah. Kononnya orang itu bomoh yang agak hebat. Aku tidak tahu bagaimana cara perubatannya. Cara Islam kah? Yang aku tahu, Tok Bomoh itu beragama Islam. Esoknya aku dengarkan sahaja cerita daripada adikku. Katanya ramai juga orang datang melihat. Penuh satu rumah.Tok Bomoh itu bercakap menggunakan dialek lain. Jarum berjaya dikeluarkan daripada salah satu bahagian badan Ibuk Timah. Upah menggeluarkan jarum itu hanya sekeping syiling RM0.50. Esoknya juga, rumah Ibuk Timah 'dipagar' dengan kain. Bunga-bunga di rumah Ibuk Timah semakin mengering dari sehari ke sehari, namun masih belum ada khabar gembira tentang Ibuk Timah.


Ada satu versi tentang cerita penyakit misteri Ibuk Timah. Dikatakan ada ahli keluarganya marah sebab Ibuk Timah memeluk Islam. Lantaran itu, 'dihantarnya' penyakit misteri kepada Ibuk Timah. Sejauh mana kebenarannya, hanya Allah yang tahu. Sudah puas mereka sekeluarga berubat. Jauh dekat semua mereka pergi. Jiran-jiran turut memberi bantuan dari segi kewangan dan lain-lain. Allah lebih menyayangi Ibuk Timah. Ibuk Timah akhirnya menghembuskan nafas yang terakhir di samping keluarga tercinta.


Aku ingin berkongsi penjelasan ringkas mengenai hukum mempelajari ilmu sihir dan apakah hukuman ke atas ahli sihir yang aku petik dari http://www.darussyifa.org/.

Menurut ulama tersohor Imam Ibn Hajar al-`Asqalani, firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 102;

[Mafhumnya] Mereka (membelakangkan kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: "Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam pada itu, ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.

Ayat ini menunjukkan secara jelas bahawa mempelajari ilmu sihir adalah daripada amalan kufur yang wajib dijauhi oleh seorang Muslim.

Imam Ibn Qudamah menyatakan, “… mempelajari sihir dan mengajarkan ilmu ini kepada orang adalah haram di mana kami tidak mengetahui wujudnya khilaf [perbezaan pendapat] dalam kalangan para ahli ilmu mengenai perkara ini…”[2]

Imam Abu Hayyan menyatakan dalam kitabnya al-Bahr al-Muhit, “…adapun hukum mempelajari sihir, maka apa-apa ilmu sihir yang melibatkan perlakuan memuja serta mengagungkan sesuatu yang lain daripada Allah, maka mempelajarinya adalah haram menurut ijmak ulama, iaitu tidak harus mempelajarinya dan tidak juga beramal dengannya. Adapun sekiranya tidak dapat dipastikan apakah ilmu sihir tersebut melibatkan unsur-unsur syirik terhadap Allah ataupun tidak, maka yang pastinya mempelajari ilmu tersebut tetap tidak harus dan tidak juga harus beramal dengannya.”

Menurut penjelasan Sheikh Muhammad ibn Salih al-`Uthaymin, mempelajari ilmu sihir adalah haram dan tidak dibenarkan, bahkan boleh membawa kepada kekufuran, iaitu berdasarkan ayat 102 dari surah al-Baqarah.

Kerana itu, jelas beliau, “…seorang ahli sihir, menurut hukum syarak, hendaklah dibunuh, dan hukuman bunuh di sini dilaksanakan atas dasar diri ahli sihir tersebut telah murtad dari Islam atau atas dasar suatu hukuman hudud yang wajib dikenakan ke atasnya. Sekiranya amalan sihirnya telah sampai ke tahap kufur, maka dia dibunuh atas dasar amalan murtadnya, dan sekiranya amalan sihirnya tidak sampai ke tahap kufur [tidak melibatkan penyembahan jin dan syaitan], maka dia dibunuh atas dasar hukuman hudud…” [3]

Ulasan Ringkas :
Semoga kita sentiasa menjauhkan diri dengan sejauh-jauhnya dari amalan sihir dan para ahli sihir walau sesusah mana dan seberat mana ujian dan penderitaan sakit yang ditimpakan oleh Allah ke atas kita. Sentiasalah bersabar, mengharapkan balasan pahala dari sisi Allah dan terus berusaha mencari penawar melalui jalan dan kaedah rawatan yang tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Jadikan al-Quran sebagai penawar dan jauhilah tabib-tabib yang melibatkan khidmat penggunaan makhluk jin dan syaitan dalam rawatan atau melibatkan amalan-amalan yang mencurigakan menurut neraca Syarak. [terdapatnya unsur syubhah]. Sesungguhnya melakukan rawatan yang melibatkan unsur-unsur syirik kepada Allah [seperti berdoa kepada jin] adalah haram dan tidak dibenarkan menurut kata sepakat [ijmak] para ulama. Wallahu'alam.


Al-Fatihah untuk Allahyarhamah Fatimah bt. Abdullah.

Sebenarnya Apa yang Terbaik?


"Boleh jadi, kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Sesungguhnya Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui" ( al-Baqarah, ayat 216 )

Ramai yang tidak sedar akan hakikat ini sedangkan al-quran telah menyebutnya. Bukan penyedap hati, tapi inilah realitinya. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Apa yang perlu kita lakukan ialah cari hikmah di sebalik kejadian. Bukan mengeluh atau tak sudah-sudah menyesali apa yang telah berlaku.

Apa yang dulu aku tidak sedari dan akhirnya ia membuka mataku di kemudian hari? Banyak. Memang banyak. Aku dikurniakan seorang ayah yang agak garang dan tegas. Aku sering dipukul dan dimarahi sejak aku kecil lagi (Menginjak remaja, ayah tidak memukul anaknya lagi). Ia membawa kesan hingga sekarang. Aku takut ditengking, takut melihat pergaduhan, dan tidak sanggup melihat anak kecil dipukul. Ia seolah menghantuiku. Entah sampai bila keadaan ini akan pulih. Tanganku menggigil seusai solat hanya kerana mendengar suara ayahku memarahi adikku. Aku menangis lebih lama daripada anak buahku apabila melihat dia kesakitan akibat jatuh dan terhantuk. Kadang-kadang aku berusaha keras untuk jangan menangis tapi selalunya gagal. Aku bukan cembeng, tapi hatiku cepat benar hiba. Aku boleh menangis hanya kerana aku melihat orang lain menangis waima ditunjukkan gambar orang menangis juga boleh membuat kolam mataku digenangi air mata.

Aku dipukul kerana tidak mahu ke sekolah. Aku dicubit kerana aku lambat membuat kerja rumah. Pada zaman tadika, aku tidak akan ke sekolah kalau tidak ditemani oleh ahli keluarga. Aku akan menjerit sekuat-kuat hatiku hanya kerana kelibat emak hilang sebentar dari pandanganku. Hari demi hari, keadaanku semakin okay. Syaratnya cuma adikku, Lan mesti ada bersamaku. Masa itu dia baru berusia empat tahun. Anjing jiranku juga menemani kami ke sekolah. Ia akan duduk baik-baik di luar sekolah dan akan mengiringi kami balik ke rumah. Pada masa itu, aku tidak tahu pun bahawa anjing itu haram dipegang. Maklumlah budak-budak. Ibu bapaku juga tidak tahu anjing itu mengekori kami ke sekolah. Aku tidak suka ke sekolah, yang aku suka di tadika cuma bee hoon yang cikgu buat sangat sedap!

Walaupun aku anak yang degil, tak nak ke sekolah, dan kuat menangis, namun akhirnya akulah juga yang selalu menjadi penyebab ayahku hadir di majlis penyampaian hadiah. Mujur ayahku garang. Kalau tidak, aku tidak tahu apa akan jadi padaku. Mungkin sekarang aku membantu mereka di gerai dan gelaran editor itu tidak terlintas langsung di kepalaku. Bila difikir-fikirkan kembali, perangaiku semasa kecil memang benar-benar menguji kesabaran orang tuaku.

Seterusnya, semasa menerima tawaran ke UiTM, aku berkeras tidak mahu pergi. Apatah lagi apabila mendapat tahu aku perlu berjauhan daripada keluarga. Aku beli kelengkapan sekolah seperti baju dan kasut. Aku menangis tidak mahu pergi. Mak cik dan pak cik juga datang memujukku tapi tidak berhasil. Akhirnya kata-kata ayah yang mengubah keputusanku. Katanya, "Kinek tuk kau dapat tawaran, kito pun sik pasti sama ada tawaran tuk datang udik kah sik. Mun tawaran tuk sik atang agik, kau nyesai kelak." (Sekarang kau dapat tawaran, kita tidak pasti sama ada tawaran ini datang lagi atau tidak. Kalau tawaran ini tidak datang lagi, kau akan menyesal suatu hari nanti."

Aku pegang kata-kata ayah. Aku pergi dengan berat hati. Pada usia yang baru mahu menginjak 18 tahun, aku harus berpisah jauh beribu batu daripada keluarga tercinta. Aku lihat air mata emak mengalir menghantarku di perhentian bas. Dalam hatiku cuma berbisik, "Mak jangan nangis ... mak ... aku sik sanggup nangga air mato mak." Kutahan-tahan air mata ini supaya jangan jatuh, tapi ia gugur jua.Argh ... saat itu amat memilukan. Aku teresak-esak di dalam bas. Ayah kulihat masih lagi macho. Riak wajahnya seolah tidak berubah. Tangannya ligat memusing-musing alat penghawa dingin di atas tempat duduknya.



Sepanjang perjalanan, ayah tidak memberitahuku setakat mana dia akan menghantarku. Sebaik sahaja aku harus masuk ke balai berlepas, baru ayah bersuara, "Apak anta kau sampei situk ajak. Sampei sinun kelak, abang Meran akan ambik." (Ayah hantar kamu sampai sini sahaja, sampai sana nanti, abang Kamaran akan ambik.". Masa itu rasa mahu luluh hatiku. Jantung bagai berhenti berdegup. Aku tidak pernah ke Semenanjung, aku tidak pernah menaiki pesawat. Bagaimana aku nanti? Bolehkah aku pergi seorang?

Aku tahu ayah sengaja tidak mahu memberitahuku awal-awal. Dia tahu, aku akan berkeras tidak mahu pergi kalau kutahu ayah hanya menghantarku sampai di lapangan terbang, Kuching. Ayah juga tahu, jika dia memberitahuku di lapangan terbang, aku tidak mampu lagi untuk berpatah balik. Aku menangis lagi. Kulihat air mata ayah juga bergenang. Masih terbayang wajah ayah menghantarku di lapangan terbang. Lambaian itu aku ingat sampai sekarang. Ayah ... aku sentiasa berdoa agar ayah dipanjangkan umur dan dikurniakan kesihatan yang baik. Dia ayah terbaik di dunia. Dia orang pertama yang mengajar aku memasak, dia ayah yang sentiasa akan melihat kembali birat yang dia tinggalkan di tubuhku semasa aku masih kecil dahulu. Aku tahu, dia sekadar mengajar dan dia sebenarnya keberatan untuk memukulku, tetapi dia terpaksa.

Ya, dulu aku tidak suka, aku benci sebenci bencinya, aku marah dan aku kesal, tapi sekarang aku bersyukur. Kerana ketegasan ayah, aku jadi seperti sekarang. Hikmah yang aku kira agak besar juga adalah, kalau aku tidak ke Semenanjung, aku tidak akan bertemu dengan suami yang amat kucintai, Mujahid Nor Khair. Nasihat ayah masihku pegang erat sampai sekarang. Peluang itu kadang-kadang datang sekali sahaja. Buat pilihan yang terbaik kerana kita masih boleh memilih.

Aku dan Pelancong Jepun

Salam,

Aku tidak pernah ke Jepun, dan aku menyimpan hasrat agar suatu hari nanti aku dapat menjejaki kaki ke negara bunga Sakura itu. Kenapa Jepun? Mmm ... aku suka filem dan dramanya barangkali. Lantas, aku mengambil bahasa Jepun sebagai bahasa ketiga di UiTM. Walaupun ditentang keras oleh kekasihku pada masa itu, (sekarang suamiku) namun aku tetap mengambil bahasa Jepun. Aku berfikiran bahawa biarlah aku mempelajari bahasa Jepun kerana suamiku memang sudah fasih berbahasa Arab. Logikanya agar anak-anak kami nanti boleh diajar pelbagai bahasa. Insya-Allah.

Rakan sebilikku, Fiza telah mengambil mata pelajaran bahasa Jepun lebih dahulu daripadaku. Ini bonus bagiku. Aku membuat salinan buku 'Japanese Make Easy' awal satu semester daripada orang lain. Aku juga mempelajari bahasa Jepun sedikit demi sedikit daripada Fiza. Aku juga menyimpan angan-angan agar aku akan menjadi pelajar terbaik bahasa ketiga itu seperti Fiza. Alhamdulillah ... sepanjang pengajian, aku sentiasa memperolehi A dalam subjek itu.

Justeru itu, apa pula kaitannya aku dengan pelancong dari Jepun? Begini ceritanya. Suatu petang, aku menemani suamiku (pada masa itu dia masih kekasihku) bersolat di Masjid sekitar tasik titiwangsa. Memandangkan aku 'bercuti' pada masa itu, aku duduk sahaja di bangku di perkarangan masjid. Muncul beberapa buah bas pelancong datang. Ramai pelancong yang aku kira mungkin dari Jepun mengambil gambar sekitar kawasan masjid. Lantas, muncul 2-3 orang pelancong Jepun menghampiriku. "Photograph," katanya berulang kali. Aku pun cuba mengambil kamera yang disuakan padaku. "No ... no ... photograph," kata salah seorang daripada mereka sambil menunjuk ke arah diri mereka bertiga dan diriku. Oh ... rupa-rupanya mereka ingin mengambil gambar denganku. Wah ... bangga juga aku pada masa itu. Ada beberapa snap diambil. Gayaku kaku sahaja. Cuma kumaniskan senyuman sahaja. Seorang demi seorang berdiri di kiri, kanan dan belakangku. Pelancong-pelancong Jepun yang lain pun turut serta. Setelah selesai, mereka mengucapkan terima kasih padaku. Sempat juga mereka membisikkan sesuatu padaku. Tak perlulah aku beritahu apa yang mereka ucapkan. Biarlah aku sahaja yang tahu. Semasa bas beransur pergi, mereka melambai-lambai pula dari dalam bas gaya remaja sekolah yang kegirangan balik dari camping. Aku turut melambai ke arah mereka.

Mmm ... tidak mengapalah kalau aku tidak menjejakkan kaki ke Jepun, sekurang-kurangnya gambarku sudah ada di sana. Moralnya, jangan kedekut senyuman. Semua orang suka bila kita tersenyum. Kadang-kadang senyum itu boleh merawat hati yang luka, boleh menyiram perasaan amarah daripada terus menyala, dan yang pastinya kita tidak rugi apa-apa. Ia sedekah yang mudah dan hadiah yang istimewa.