Sunday, July 5, 2009

Sebenarnya Apa yang Terbaik?


"Boleh jadi, kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Sesungguhnya Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui" ( al-Baqarah, ayat 216 )

Ramai yang tidak sedar akan hakikat ini sedangkan al-quran telah menyebutnya. Bukan penyedap hati, tapi inilah realitinya. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Apa yang perlu kita lakukan ialah cari hikmah di sebalik kejadian. Bukan mengeluh atau tak sudah-sudah menyesali apa yang telah berlaku.

Apa yang dulu aku tidak sedari dan akhirnya ia membuka mataku di kemudian hari? Banyak. Memang banyak. Aku dikurniakan seorang ayah yang agak garang dan tegas. Aku sering dipukul dan dimarahi sejak aku kecil lagi (Menginjak remaja, ayah tidak memukul anaknya lagi). Ia membawa kesan hingga sekarang. Aku takut ditengking, takut melihat pergaduhan, dan tidak sanggup melihat anak kecil dipukul. Ia seolah menghantuiku. Entah sampai bila keadaan ini akan pulih. Tanganku menggigil seusai solat hanya kerana mendengar suara ayahku memarahi adikku. Aku menangis lebih lama daripada anak buahku apabila melihat dia kesakitan akibat jatuh dan terhantuk. Kadang-kadang aku berusaha keras untuk jangan menangis tapi selalunya gagal. Aku bukan cembeng, tapi hatiku cepat benar hiba. Aku boleh menangis hanya kerana aku melihat orang lain menangis waima ditunjukkan gambar orang menangis juga boleh membuat kolam mataku digenangi air mata.

Aku dipukul kerana tidak mahu ke sekolah. Aku dicubit kerana aku lambat membuat kerja rumah. Pada zaman tadika, aku tidak akan ke sekolah kalau tidak ditemani oleh ahli keluarga. Aku akan menjerit sekuat-kuat hatiku hanya kerana kelibat emak hilang sebentar dari pandanganku. Hari demi hari, keadaanku semakin okay. Syaratnya cuma adikku, Lan mesti ada bersamaku. Masa itu dia baru berusia empat tahun. Anjing jiranku juga menemani kami ke sekolah. Ia akan duduk baik-baik di luar sekolah dan akan mengiringi kami balik ke rumah. Pada masa itu, aku tidak tahu pun bahawa anjing itu haram dipegang. Maklumlah budak-budak. Ibu bapaku juga tidak tahu anjing itu mengekori kami ke sekolah. Aku tidak suka ke sekolah, yang aku suka di tadika cuma bee hoon yang cikgu buat sangat sedap!

Walaupun aku anak yang degil, tak nak ke sekolah, dan kuat menangis, namun akhirnya akulah juga yang selalu menjadi penyebab ayahku hadir di majlis penyampaian hadiah. Mujur ayahku garang. Kalau tidak, aku tidak tahu apa akan jadi padaku. Mungkin sekarang aku membantu mereka di gerai dan gelaran editor itu tidak terlintas langsung di kepalaku. Bila difikir-fikirkan kembali, perangaiku semasa kecil memang benar-benar menguji kesabaran orang tuaku.

Seterusnya, semasa menerima tawaran ke UiTM, aku berkeras tidak mahu pergi. Apatah lagi apabila mendapat tahu aku perlu berjauhan daripada keluarga. Aku beli kelengkapan sekolah seperti baju dan kasut. Aku menangis tidak mahu pergi. Mak cik dan pak cik juga datang memujukku tapi tidak berhasil. Akhirnya kata-kata ayah yang mengubah keputusanku. Katanya, "Kinek tuk kau dapat tawaran, kito pun sik pasti sama ada tawaran tuk datang udik kah sik. Mun tawaran tuk sik atang agik, kau nyesai kelak." (Sekarang kau dapat tawaran, kita tidak pasti sama ada tawaran ini datang lagi atau tidak. Kalau tawaran ini tidak datang lagi, kau akan menyesal suatu hari nanti."

Aku pegang kata-kata ayah. Aku pergi dengan berat hati. Pada usia yang baru mahu menginjak 18 tahun, aku harus berpisah jauh beribu batu daripada keluarga tercinta. Aku lihat air mata emak mengalir menghantarku di perhentian bas. Dalam hatiku cuma berbisik, "Mak jangan nangis ... mak ... aku sik sanggup nangga air mato mak." Kutahan-tahan air mata ini supaya jangan jatuh, tapi ia gugur jua.Argh ... saat itu amat memilukan. Aku teresak-esak di dalam bas. Ayah kulihat masih lagi macho. Riak wajahnya seolah tidak berubah. Tangannya ligat memusing-musing alat penghawa dingin di atas tempat duduknya.



Sepanjang perjalanan, ayah tidak memberitahuku setakat mana dia akan menghantarku. Sebaik sahaja aku harus masuk ke balai berlepas, baru ayah bersuara, "Apak anta kau sampei situk ajak. Sampei sinun kelak, abang Meran akan ambik." (Ayah hantar kamu sampai sini sahaja, sampai sana nanti, abang Kamaran akan ambik.". Masa itu rasa mahu luluh hatiku. Jantung bagai berhenti berdegup. Aku tidak pernah ke Semenanjung, aku tidak pernah menaiki pesawat. Bagaimana aku nanti? Bolehkah aku pergi seorang?

Aku tahu ayah sengaja tidak mahu memberitahuku awal-awal. Dia tahu, aku akan berkeras tidak mahu pergi kalau kutahu ayah hanya menghantarku sampai di lapangan terbang, Kuching. Ayah juga tahu, jika dia memberitahuku di lapangan terbang, aku tidak mampu lagi untuk berpatah balik. Aku menangis lagi. Kulihat air mata ayah juga bergenang. Masih terbayang wajah ayah menghantarku di lapangan terbang. Lambaian itu aku ingat sampai sekarang. Ayah ... aku sentiasa berdoa agar ayah dipanjangkan umur dan dikurniakan kesihatan yang baik. Dia ayah terbaik di dunia. Dia orang pertama yang mengajar aku memasak, dia ayah yang sentiasa akan melihat kembali birat yang dia tinggalkan di tubuhku semasa aku masih kecil dahulu. Aku tahu, dia sekadar mengajar dan dia sebenarnya keberatan untuk memukulku, tetapi dia terpaksa.

Ya, dulu aku tidak suka, aku benci sebenci bencinya, aku marah dan aku kesal, tapi sekarang aku bersyukur. Kerana ketegasan ayah, aku jadi seperti sekarang. Hikmah yang aku kira agak besar juga adalah, kalau aku tidak ke Semenanjung, aku tidak akan bertemu dengan suami yang amat kucintai, Mujahid Nor Khair. Nasihat ayah masihku pegang erat sampai sekarang. Peluang itu kadang-kadang datang sekali sahaja. Buat pilihan yang terbaik kerana kita masih boleh memilih.

No comments:

Post a Comment